KUALA LUMPUR: Penawaran pas bulanan pada kadar diskaun bagi pengguna lebuh raya tanpa had penggunaan dilihat sebagai langkah lebih berkesan untuk menangani peningkatan kos sara hidup rakyat, berbanding mekanisme caj kesesakan yang ingin dilaksanakan kerajaan.Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari, berkata caj kesesakan yang menyaksikan penawaran diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa dijangka kurang memberikan impak.Katanya, faktor lain seperti kesesakan sehingga menyaksikan pengguna lebuh raya terperangkap berjam-jam ketika dalam perjalanan ke destinasi masih menjadi penyumbang terbesar kos menerusi penggunaan petrol, sekali gus menyebabkan mekanisme berkenaan tidak mampu menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Waktu tiada caj antara jam 11 malam hingga 5 pagi pula sekadar memberikan manfaat kepada segmen kecil masyarakat, iaitu petugas syif malam yang lazimnya menggunakan lebuh raya di bandar pada larut malam, sebelum pulang ke rumah awal pagi keesokan harinya.“Mengikut mekanisme baharu ini, kemungkinan besar kos bayaran tol oleh pengguna membabitkan empat lebuh raya ini berkurangan sebanyak 30 peratus. Jika sehari rakyat membayar RM10, maka selepas pelaksanaan cadangan ini, mereka hanya bayar RM7, iaitu penjimatan RM3.“Liputan faedah mekanisme berkenaan dijangka hanya diperoleh isi rumah di bandar dan yang menggunakan empat lebuh raya ini saja, manakala sebahagian besar segmen masyarakat di bandar lain dengan menggunakan lebuh raya berbeza tidak mendapat manfaat,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan kelmarin mengumumkan kerajaan berunding dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada.Rundingan itu membabitkan rancangan mengambil alih konsesi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.Mengemukakan penyelesaian alternatif, Mohd Yusof berkata, kerajaan berupaya memperkenalkan pas bulanan bagi rakyat yang terpaksa menggunakan laluan menerusi empat lebuh raya terbabit untuk pelbagai tujuan setiap hari.

Beliau menyifatkan keputusan sedemikian yang dijangka memberi manfaat kepada golongan sasar, selain berupaya menetapkan kriteria penerima tidak mustahil memandangkan kerajaan mempunyai rekod pelaksanaan dan keberkesanan menerusi mekanisme pas pengangkutan awam.“Niat kerajaan bagus iaitu untuk meringankan bebanan kos hidup rakyat, tetapi perlu perkemas kaedahnya supaya ia memberi manfaat secara langsung kepada golongan sasar yang saban hari tertekan dengan pelbagai masalah,” katanya.

Mohd Yusof berkata, pertimbangan jangka panjang yang mampu dilaksanakan kerajaan ialah pengambilalihan tol di Lebuhraya Utara-Selatan kendalian syarikat konsesi, PLUS Malaysia Berhad secara berperingkat, sejajar kedudukan kewangan negara.Katanya, antara langkah pertama cadangan itu ialah dengan menghapuskan kutipan tol di jajaran Lebuhraya Utara-Selatan yang termasuk dalam laluan pengguna untuk ke pejabat setiap hari.

“Jika cadangan penghapusan tol dilaksanakan kepada lebuh raya PLUS, ia dijangka memberikan kesan signifikan sehingga menyaksikan pengurangan kos pengangkutan barangan, namun langkah ini mungkin tidak berupaya dibuat kerana berada di luar kemampuan kewangan kerajaan.“Mungkin pengambilalihan berperingkat boleh dipertimbangkan seperti sebahagian lebuh raya PLUS, iaitu di kawasan yang menjadi tumpuan rakyat seperti tol Juru di Pulau Pinang,” katanya.