JALAN ROSAK resizeKUALA LUMPUR: Pengguna boleh mengemukakan tuntutan kepada syarikat konsesi lebuh raya jika terbabit dalam kemalangan akibat keadaan atau halangan pada infrastruktur berkenaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pengguna juga boleh mengemukakan tuntutan jika terbabit dalam kemalangan akibat kecuaian syarikat konsesi lebuh raya seperti termaktub dalam perjanjian.

Bagaimanapun, katanya, pengguna perlu membuktikan kemalangan itu berpunca akibat kegagalan syarikat konsesi lebuh raya melakukan tindakan segera terhadap sebarang permasalahan pada infrastruktur terbabit.

“Banyak kes (syarikat) konsesi membuat bayaran akibat kecuaian mereka, seperti lopak dan sebagainya.

Mangsa boleh membuat tuntutan jika kemalangan berlaku disebabkan keadaan jalan raya itu sendiri.


“Jika kemalangan akibat mengantuk dan kecuaian sendiri, kita akan siasat laporan dan tuntutan berkenaan kerana pembayaran tidak dibuat secara terus sejurus tuntutan dikemukakan.

“Justeru, pengguna boleh mendapatkan khidmat untuk membuat tuntutan jika berlaku kemalangan di lebuh raya,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jenis tuntutan yang boleh dikemukakan kepada syarikat konsesi kerana kemalangan di lebuh raya.

Menjawab soalan asal, Abdul Rahman berkata, pelbagai tindakan dilakukan bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat objek atau halangan di lebuh raya, termasuk serpihan tayar lori.

Katanya, serpihan tayar di lebuh raya berpunca daripada penggunaan tayar celup tidak mematuhi piawaian yang mudah pecah dan tertanggal dengan kebanyakannya digunakan lori bermuatan berat untuk perjalanan jauh.

“Syarikat konsesi sudah diarahkan membuat rondaan lebih kerap bagi memastikan tiada objek atau halangan di lebuh raya, termasuk serpihan tayar lori bagi keselamatan pengguna.

“Rondaan rutin membabitkan pasukan ronda juga dilaksanakan mengikut pusingan ditetapkan, selain pemantauan melalui kamera litar tertutup di lokasi tertentu dan diselia pusat kawalan trafik konsesi yang beroperasi 24 jam.

“Pengguna juga digalakkan membuat aduan halangan atau kerosakan lalu lintas dengan menghubungi talian hotline lebuh raya terbabit,” katanya.