RainbowspreadofhealthyfoodGettyImages 1278940460KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan jaminan makanan untuk rakyat dalam keadaan yang stabil seiring dengan pelaksanaan rasionalisasi diesel yang dilakukan pada tahun hadapan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurutnya, langkah penyasaran semula subsidi penting untuk memastikan hanya rakyat yang benar-benar layak sahaja menerima subsidi, selain mengukuhkan kedudukan fiskal.

Rafizi berkata, ketika ini terdapat usaha meningkatkan bekalan dan jaminan makanan untuk rakyat berhadapan dengan impak inflasi, dengan jangkaan inflasi bagi 2024 adalah sekitar 2.1 peratus hingga 3.6 peratus.


Menurutnya, kumpulan wajaran yang menyumbang kepada kadar inflasi adalah barang makanan.

"Sebagai contoh, kita juga lihat usaha kerajaan dalam melaksanakan inisiatif usahawan tani di bawah inisiatif pendapatan rakyat yang bertindak sebagai serampang dua mata bagi memastikan kumpulan sasaran mempunyai pendapatan yang mencukupi.

"Tetapi pada masa sama, kita kena pastikan bekalan untuk tahun hadapan adalah lebih terjamin," katanya ketika menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai kenaikan harga barang akibat rasionalisasi harga diesel pada tahun hadapan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Jawapan itu dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.