harga naik cianjurISU kos sara hidup rakyat Malaysia nampaknya masih hangat diperdebatkan ketika ini. Tidak dinafikan kenaikan harga barang menyebabkan rakyat ‘pening kepala’ apabila kuasa beli semakin mengecil disebabkan pendapatan diperoleh tidak berubah.

Kenyataan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru sudah pasti menarik perhatian rakyat apabila beliau menggesa kerajaan supaya memperbaiki pendekatan dalam menangani isu kos hidup rakyat ketika ini.

Tolaklah soal politik, gesaan Ahli Parlimen Larut itu ada benarnya kerana peningkatan kos sara hidup berkait rapat dengan kualiti hidup.

Jangan ambil ringan kerana isu tersebut boleh memberi kesan kepada psikologi dan mental rakyat yang terkesan.

Namun, melihat daripada senario mutakhir ini, kerajaan sering kali membuat kenyataan yang seolah-olah memilih ‘jalan selamat’ dengan menolak isu tersebut kepada rakyat semula.

Hakikatnya, rakyat memilih kerajaan untuk mengurus serta menjaga kepentingan mereka. Jika demikian, apa gunanya rakyat ‘mengotorkan’ jari mereka dengan dakwat biru semasa pilihan raya, untuk apa?


Saranan seperti kurangkan makan di luar, jangan membazir, berbelanja mengikut kemampuan, perbanyakan simpanan mungkin pada peringkat awalnya boleh diterima oleh rakyat.

Bagaimanapun, sekiranya kos sara hidup dan kenaikan harga barangan tidak ditangani dan masih berterusan, lama-kelamaan saranan seumpama itu menyebabkan rakyat menyampah dan mula mempersoalkan kewibawaan pentadbiran kerajaan yang ada.

Hakikatnya, sebilangan besar rakyat, sama ada daripada kumpulan B40 dan M40 dipercayai sudah melakukan sehabis baik menyelaraskan pendapatan mereka supaya cukup sampai hujung bulan.

Lihat sahajalah harga beras dan lain-lain barangan keperluan yang ada, semua boleh dikatakan naik.

Itu tidak lagi termasuk kos belanja tetap seperti tol ulang-alik ke tempat kerja, petrol, persekolahan (belanja harian dan pengangkutan), pusat jagaan anak, pinjaman bank dan sebagainya.

Pendek kata, semua perbelanjaan itu memakan sebahagian besar pendapatan sesebuah isi rumah.

Memang benar, isu kos sara hidup termasuk kenaikan harga barangan ini sebenarnya amat kompleks, namun penyelesaiannya bukan sesuatu yang mustahil.

Justeru, adalah penting bagi kerajaan supaya lebih berhati-hati selain mencari penyelesaian yang bersifat konkrit berbanding menumpukan kepada retorik untuk menenangkan hati rakyat.

Mungkin sudah sampai masanya Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) tampil mengemukakan pelan tindakan yang lebih komprehensif meliputi jangka pendek dan jangka panjang supaya bebanan rakyat ini dapat ditangani sebaik mungkin.

Tidak semestinya pendekatan itu perlu bersifat ‘wow factor’, tetapi cukup untuk memberi kelegaan kepada rakyat.

Mungkin pendekatan itu boleh melibatkan tambahan subsidi khas bersifat sementara ke atas barangan makanan yang dikawal harganya oleh kerajaan seperti beras, gula, tepung dan sebagainya.

Malah, kerajaan juga mungkin boleh meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dengan menyemak semula kadar cukai ke atas individu khususnya daripada kumpulan pendapatan M40.

Pada masa sama, peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh digembleng dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat melalui penglibatan dalam aktiviti pengeluaran dan pengagihan barangan atau perkhidmatan pada kos yang tidak membebankan rakyat.

Iltizam dan keikhlasan kerajaan amatlah diharapkan dalam mendepani isu ini lebih-lebih lagi dalam soal menguatkuasakan undang-undang termasuklah menangani kegiatan kartel.