Seleweng minyak masak paket bersubsidi - My TV ONLINESHAH ALAM - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh menyatakan bentuk pengenalan diri (ID) bagi membolehkan pembelian minyak masak peket bersubsidi masih di peringkat kajian.

Menerusi komen balas terhadap cadangan di aplikasi X (Twitter) miliknya, beliau tidak menolak kemungkinan ia disambungkan dengan MyKad.

    “Kita akan pastikan yang terbaik untuk rakyat. Kita akan gunakan mekanisme paling mudah untuk rakyat,” katanya.

Menjawab pandangan agar mekanisme tersebut lebih menjurus kepada kaedah digital berbanding mewujudkan kad fizikal, beliau menyatakan sistem biometrik juga merupakan perkara yang sedang diterokai oleh pihaknya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kaedah yang bakal digunakan pada tahun depan itu akan memastikan hanya mereka yang memenuhi kriteria akan menikmati minyak masak peket yang disubsidikan kerajaan.

“Libat urus masih berterusan berkaitan mekanisme pelaksanaan. Sekarang ini kita sudah kenal pasti kategori penerima dan yang belum muktamad apakah mekanismenya,” kata beliau.


Terdahulu, Fuziah memaklumkan kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar seperti yang dirancang dilaksanakan pada tahun depan akan menggunakan mekanisme ID khas dan telah disahkan layak.

Beliau berkata, kaedah pembelian menggunakan MyKad dan aplikasi MySejahtera tidak digunakan kerana pembelian untuk kegunaan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro.

“Ramai bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera? Ini kerana keperluan dua kumpulan itu tidak sama.

“Jika kita hadkan pembelian kepada tiga atau lima kilogram (kg), peniaga akan bermasalah. Selain itu, golongan T20 tidak layak terima subsidi minyak peket. Maka perlu ada ID yang berbeza,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Julai lalu, Fuziah berkata, seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 layak menerima subsidi minyak masak.

Beliau berkata, kementerian juga akan menambah kira-kira satu juta pengguna dalam kalangan usahawan mikro yang memerlukan minyak masak peket seperti peniaga ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor.

Jelasnya, kerajaan juga mewujudkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dengan semua data akan dikemas kini.

Menurut Fuziah, ketika ini minyak masak peket berada pasaran terbuka dan pihaknya mahu ia dinikmati oleh kumpulan yang memerlukan sahaja selain tidak berlaku penjualan kepada pihak yang tidak sepatutnya.

“Pada ketika ini kerajaan keluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan, akan tetapi aduan diterima ialah ia tidak boleh didapati di pasaran dan selalu habis,” jelas beliau.

Minyak masak peket satu kilogram adalah dikawal oleh kerajaan dan hanya boleh dijual pada harga subsidi RM2.50.

Harga minyak masak dalam botol pula dipengaruhi harga minyak sawit mentah di pasaran dunia dan tidak dikawal.

Harga semasa minyak masak tulen botol 1kg ialah sekitar RM7.80, RM13.50 (2kg), RM20.90 (3kg) dan RM29-RM40 (5kg).