scam alert websiteJumaat, 28 Ogos 2020 | 9:31am
KUANTAN: Seorang pesara wanita kerugian RM236,994 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula pada 23 Julai lalu apabila mangsa berusia 66 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa terdapat barang pos mengandungi kad pengenalan serta beberapa keping kad ATM milik mangsa.

"Mangsa menafikan perkara itu sebelum diminta untuk membuat laporan polis. Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai Sarjan Chong.

"Suspek mendakwa mangsa terbabit dengan kes penggubahan wang haram, namun wanita itu menafikan perkara itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian mengikut arahan diberikan suspek dan pada 3 Ogos lalu mangsa meletakkan sampul surat yang mengandungi kad ATM, buku akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya di sebuah pondok telefon berdekatan Masjid Beserah di sini.

"Suspek memberitahu ia bertujuan untuk siasatan dan membersihkan nama mangsa daripada salah laku jenayah. Mangsa yang tidak mensyaki apa-apa mengikut segala arahan yang diberikan oleh suspek," katanya.

Katanya, pada 27 Ogos lalu, mangsa membuat semakan di Bank Islam mendapati wang di dalam akaunnya berjumlah RM236,994.90 dipindahkan ke dalam akaun individu yang tidak diketahui bermula 2 Ogos hingga 10 Ogos lalu.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/08/725439/pesara-rugi-hampir-suku-juta-ditipu-macau-scam