Ketua Pegawai Eksekutif PIDM Rafiz Azuan Abdullah. FOTO Abdullah YusofSelasa, 1 September 2020 @ 1:13 PM
PERBADANAN Insurans Deposit Malaysia (PIDM) meminta orang awam berwaspada dengan bahan pemasaran palsu menggunakan nama dan logo PIDM untuk mempromosikan skim pelaburan atau perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM Rafiz Azuan Abdullah berkata, pihaknya menegaskan bahawa perlindungan disediakan oleh PIDM kepada pendeposit bank, pemilik sijil takaful dan polisi insurans adalah secara automatik dan percuma.

Katanya, perlindungan ini tidak memerlukan sebarang pembayaran dan pendaftaran.

"Orang ramai juga diingatkan bahawa perlindungan PIDM tidak merangkumi pinjaman dan produk kewangan bukan deposit seperti unit amanah, saham, dan produk pelaburan emas dan perak," katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Razif berkata, institusi ahli PIDM adalah semua bank perdagangan konvensional dan bank Islam, syarikat insurans am, syarikat insurans hayat serta pengendali takaful yang dilesenkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurutnya, PIDM juga menerima beberapa pertanyaan daripada konsumer kewangan mengenai bahan pemasaran berkaitan pelaburan, skim dan produk atau kewangan yang memaparkan nama dan logo PIDM.

Beliau berkata, ramai yang diminta membuat pembayaran untuk mengaktifkan perlindungan PIDM bagi menerima dana daripada pihak ketiga, biasanya dalam bentuk pulangan pelaburan daripada skim, perkhidmatan atau produk kewangan.

"Sekiranya anda dihubungi oleh pihak yang mengutip bayaran atau yuran bagi perlindungan PIDM, sila maklumkan kepada kami.

"Maklumat ini dapat membantu kami mengeluarkan amaran kepada orang awam agar lebih berwaspada terhadap percubaan menipu.

"Orang awam juga boleh rujuk kepada senarai peringatan pengguna yang diterbitkan oleh pengawal selia kewangan lain, dan semak laman web tersebut untuk mengetahui nombor akaun bank atau nombor telefon yang telah dilaporkan kepada pihak polis berkaitan penipuan," katanya.

Contoh bahan pemasaran atau dokumen yang menyalahgambarkan perlindungan PIDM atau menggunakan nama dan logo PIDM tanpa kebenaran boleh dirujuk di laman webnya pidm.gov.my.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/616031/waspada-penyalahgunaan-nama-dan-logo-pidm