CYBERJAYA: Rangka inisiatif khas bagi memudahkan kumpulan 40 peratus isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) memiliki rumah dijangka siap Mei ini.Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata langkah berkenaan bagi membantu golongan terbabit dalam menangani isu pemilikan rumah.“Inisiatif kepada kumpulan M40 ini sebenarnya diperluaskan daripada program B40 cuma, M40 ini ada dua kategori iaitu atasan dan bawahan.“Ia membabitkan kategori berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 dan RM5,000 hingga RM10,000.“Justeru, kita akan lihat bagaimana kita boleh bantu mereka dengan rumah mampu milik berdasarkan pendapatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Kempen Global #KitaSemuaMaryam anjuran Malaysia Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine di sini, hari ini.Pada 7 Mac lalu, media melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bakal memperkenalkan inisiatif atau skim khas bagi memudahkan kumpulan pertengahan memiliki kediaman sendiri.Zuraida dilaporkan berkata, KPKT dalam proses merangka inisiatif berkenaan dan akan mendapatkan kerjasama daripada beberapa agensi berkaitan.