SEREMBAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia kini sedang berusaha mewujudkan mata pelajaran teknologi di sekolah bagi memenuhi keperluan pembelajaran digital pada masa akan datang.Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata ketika ini pihaknya sudah beberapa kali mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Kementerian Pendidikan.Katanya, usaha itu penting kerana perkembangan teknologi ketika ini amat memerlukan bidang pendidikan negara terus maju ke hadapan selaras dengan era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).“Kementerian saya bertanggungjawab dalam membina infrastruktur yang baik manakala Kementerian Pendidikan pula membolehkan sekolah memulakan sebarang program berteraskan teknologi.“Ketika ini kementerian perlu pastikan ada akses internet yang baik atau perlu menggunakan pusat internet sedia ada.“Itu kita sedang lihat dan kami (bersama Kementerian Pendidikan) akan umumkan nanti,” katanya pada sidang media selepas melancarkan JomStudi di Pusat Internet Kampung Kering, Labu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan; Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid.JomStudi adalah sebuah hub pembelajaran digital menggabungkan kandungan berasaskan sukatan pelajaran sekolah yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.Portal pembelajaran dalam talian itu dikendalikan oleh Digi Telecommunication Sdn Bhd, Astro pula menawarkan kandungan yang ditawarkan oleh Tutor TV, manakala sumber pembelajaran berasaskan video interaktif serta FullAMark oleh Media Prima Berhad.Mengulas lanjut kesediaan kerajaan memperkenalkan mata pelajaran teknologi itu, Gobind mengakui akan berdepan pelbagai cabaran terutama membabitkan capaian internet.

“Apa yang penting ketika ini perlu ada infrastruktur dengan kemudahan internet yang baik supaya semua golongan masyarakat tidak terpinggir daripada teknologi ini,” katanya.Sementara itu, Gobind berkata, kementeriannya ketika ini sedang memberi tumpuan penuh untuk memastikan capaian internet terutama di kawasan luar bandar menjadi lebih baik.Katanya, kemudahan internet dalam era ini amat penting, termasuk membantu peniaga menjana pendapatan.“Namun, kita sedia maklum masih ada kawasan yang liputannya kurang memuaskan terutama di kawasan berbukit yang sudah pasti akan mengambil masa untuk diselesaikan.“Bagaimanapun kita akan cari segera teknologi alternatif seperti menggunakan satelit untuk membekalkan internet dan ini kita akan cuba laksanakan secepat mungkin,” katanya.