Bas SMARTSHAH ALAM: Kerajaan Selangor bakal memperkenalkan sistem Van DRT (Demand-Responsive Transit) Mobiliti Selangor pada tahun ini untuk menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit pada masa akan datang.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata sistem Van DRT mengutamakan angkutan penumpang bagi tujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang utama seperti rel dan bas.

"Berikutan pengumuman Kementerian Pengangkutan untuk menyelaraskan laluan bas di peringkat kerajaan Persekutuan melalui Prasarana Bhd, kerajaan Selangor melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Mobiliti Selangor semalam telah mengambil ketetapan untuk mengkaji semula laluan-laluan Bas Smart Selangor agar dapat diselaraskan bersama dalam perancangan Kementerian Pengangkutan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Buat masa ini, katanya kerajaan negeri mengendalikan 50 laluan Bas Smart Selangor dan 166 bas yang beroperasi sejak 2016.

Ng berkata kajian itu akan meliputi penambahbaikan ekosistem keseluruhan perbatuan pertama dan terakhir merangkumi laluan pejalan kaki yang selesa, mikromobiliti seperti e-skuter dan basikal elektrik serta pengenalan kepada sistem Van DRT (Demand-Responsive Transit) Mobiliti Selangor.

Dengan usaha ini, katanya kerajaan negeri berharap sistem pengangkutan awam akan menjadi pilihan utama rakyat Selangor dan warga Lembah Klang menjelang 2030, selaras dengan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor yang menetapkan visi 60 peratus pengguna memilih untuk bergerak dengan menggunakan pengangkutan awam.