kurangkan subsidiPETALING JAYA: Kumpulan pengguna menggesa kerajaan menggunakan Belanjawan 2024 sebagai pemacu strategi jangka panjang menangani peningkatan kos sara hidup, berbanding sekadar menyediakan peruntukan bagi subsidi semata-mata.

Setiausaha Agung Malaysia Consumer Movement, Sukhdave Singh, berkata subsidi tidak dapat menggantikan dasar menyeluruh, sambil menyatakan terdapat keperluan bagi kerajaan menilai semula kerangka manfaat sosial.

“Kos barang keperluan berterusan meningkat kesan elemen global. Bertindak balas dengan subsidi bukan penyelesaian jangka panjang.

“Subsidi seperti memadam kebakaran, namun tindak balas sebenar adalah meningkatkan bekalan. (Kerajaan mesti) melabur dalam sektor pertanian sambil kaji semula dasar jangka panjang,” katanya kepada FMT.

Sukhdave menyeru kerajaan pertimbang dasar autarkic bagi kemampanan sara diri dalam pengeluaran makanan, mengurangkan kebergantungan import dan menurunkan kos pengimportan.


Beliau juga menekankan tumpuan khusus diberikan kepada sektor kesihatan sambil sedia maklum peningkatan kos perubatan menyumbang pertambahan kebergantungan kepada khidmat penjagaan kesihatan awam, yang mana berpotensi membebankan sistem itu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Mohideen Abdul Kader, berkata penggantungan kepada subsidi kerajaan boleh memberi kesan buruk selain terhadap hutang negara.

Mohideen mencadangkan kekurangan sumber makanan boleh ditangani dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan sektor pertanian tempatan.

“Malaysia memang memerlukan pelaburan asing dan pada masa sama perlu membangunkan dasar lebih jelas terhadap pengeluaran makanan. Banyak kajian melibatkan pertanian telah dibuat institusi pendidikan tinggi, dan kerajaan perlu beri galakan kepada institusi ini menyumbang kepada sektor pertanian.

“Kerajaan perlu mengurangkan 60% import makanan dan fokus kepada kaedah kemampanan pertanian,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Saravanan Thambirajah menyokong pemberian subsidi dan menyatakan ia membantu meringankan beban rakyat.

“Tanpa subsidi dan bantuan tunai, pengguna terkesan dengan kos sara hidup tinggi dan kuasa beli rendah. Subsidi tenaga, petrol, barang makanan seperti ayam dan telur, minyak masak, tambang pengangkutan dan banyak lagi lebih membantu meringankan beban pengguna,” katanya.

Saravanan berkata, beliau mahu melihat pelaksanaan berterusan subsidi bersasar menekankan kepentingan mengalihkannya kepada golongan layak menerima, seperti kumpulan berpendapatan B40 dan M40.