Hanya satu paket minyak masak bersubsidi satu keluargaSHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar seperti yang dirancang dilaksanakan pada tahun depan akan menggunakan mekanisme pengenalan diri (ID) dan disahkan layak.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kaedah pembelian menggunakan kad pengenalan dan aplikasi MySejahtera tidak digunakan kerana kegunaan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro.

“Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera? ini kerana keperluan dua kumpulan tersebut tidak sama.

"Jika kita hadkan pembelian kepada 3 atau 5 kilogram, peniaga akan bermasalah. Selain itu golongan T20 tidak layak terima subsidi minyak peket. Maka perlu kepada ID yang berbeza,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Julai lalu, Fuziah menyatakan akan melaksanakan kaedah pembelian minyak masak paket kepada kumpulan sasar mulai tahun depan dan seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 sudah dikenal pasti dan layak berada dalam kumpulan itu.


Beliau berkata, kementerian juga akan menambah lagi kira-kira satu juta (pengguna) dalam kalangan usahawan mikro yang memerlukannya (minyak masak paket) seperti peniaga ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor.

Jelasnya, KPDN juga mewujudkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu agensi di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan semua data perlu dikemaskini dan dibersihkan.

Menurut Fuziah, ketika ini minyak masak peket berada pasaran terbuka dan mahu ia dinikmati oleh kumpulan yang memerlukan selain tidak berlaku penjualan kepada pihak yang tidak sepatutnya.

“Pada ketika ini kerajaan keluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan, akan tetapi aduan diterima ialah ia tidak boleh didapati di pasaran dan selalu habis,” jelas beliau.