Kaji tingkat pengeluaran beras negara kepada 75 peratusKetika ini isu kekurangan beras tempatan hangat diperkatakan masyarakat. Merujuk kembali kepada kenyataan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, memang disebutkan pengeluaran dan stok bekalan bagi sebahagian bijirin, terutama beras dan gandum dunia bagi 2020 hingga 2022 mengalami pengurangan.

Tambahan pula, pengeluaran beras dunia bagi tahun kebelakangan ini menurun kepada 343 juta tan pada 2022, manakala kadar penggunaan dalam tempoh sama meningkat kepada 353 juta tan.

Namun, menurut kementerian juga, kekurangan bekalan beras dunia belum berada pada tahap kritikal dan dijangka bersifat sementara jika langkah pengawalan dibuat dengan segera.

Akan tetapi, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO), mereka membayangkan kekurangan stok bijirin akan menjadi krisis pada masa depan. Ini berikutan data pada 2020 menunjukkan stok simpanan bijirin dunia yang sebelum ini mampu menampung keperluan 104 hari dijangka menurun kepada 53 hari sahaja menjelang akhir 2023. Kedudukan ini jauh lebih rendah daripada kedudukan dicatat ketika krisis makanan 1974.

Terdapat beberapa sebab diberikan kenapa hal ini berlaku. Antara faktor utama adalah fenomena 'El Nino' iaitu musim panas luar biasa serta hujan berlanjutan hingga berlaku banjir teruk, sekali gus menjejaskan penghasilan bijirin utama. Hal ini berlaku khususnya  di negara pengeluar di rantau Asia Tengah, Eropah dan Amerika.


Kemarau berterusan juga membawa kesan buruk kerana air untuk keperluan pertanian juga semakin berkurangan.

 Mengambil kira bilangan penduduk dunia yang akan mencecah 9.7 bilion pada 2050, isu keterjaminan makanan pada masa depan harus diberikan perhatian serius.

Memandangkan komoditi bijirin yang berkurang, harga dijangka semakin memuncak.

Negara miskin dan sedang membangun terpaksa membayar lebih untuk membeli bahan makanan. Dijangka pada 2024, negara ini memerlukan belanjawan tambahan lebih RM6 bilion.

Tanah terbiar dan tidak diusahakan

Dalam konteks Malaysia pula, negara kita sudah sekian lama memilih menumpukan ekonomi berasaskan perindustrian. Pada 1980 terdapat 700,000 hektar kawasan tanaman padi negara dan jumlah itu semakin mengecil kepada 436,054 tahun ini.

Lebih malang lagi, terdapat hampir 120,000 hektar tanah terbiar dan tidak diusahakan. Pada masa sama terdapat hampir 30,000 hektar kawasan padi ditukar menjadi kawasan industri dan perumahan.

Pada masa ini, Malaysia memerlukan 1.8 juta tan beras untuk menampung keperluan rakyat. Bagaimanapun, mengambil kira pertumbuhan penduduk pada kadar 2.1 peratus setahun, rakyat Malaysia akan berjumlah 35.4 juta pada 2025 dan 39.1 juta menjelang 2030. Angka ini akan memberi impak ketara kepada keperluan beras negara iaitu tambahan lebih dua juta tan menjelang 2030.

Secara mudah, pengeluaran beras negara perlu seiring dengan pertambahan populasi. Keperluan beras negara mestilah mengambil kira kepesatan ekonomi dan jumlah keluasan sawah. Jika tidak, Malaysia akan terus bergantung kepada beras import sekiranya tiada inisiatif untuk menambah pengeluaran dalam negara.

Kementerian juga perlu meningkatkan usaha bagi menambah tenaga kerja warga tempatan dalam industri ini. Justeru, perlu ada strategi baharu mengukuhkan pengeluaran beras negara seperti memperluaskan penanaman padi di beberapa kawasan berpotensi.

Jaringan perniagaan baharu juga perlu diperluaskan kepada beberapa syarikat perniagaan tempatan untuk memecahkan monopoli industri beras yang sekian lama dikuasai oleh BERNAS.

Ahli perniagaan juga mungkin boleh mengembangkan pelaburan dalam sektor tanaman padi ke negara luar seperti Vietnam, Laos dan Kemboja.

Kesimpulannya, industri beras adalah sangat penting dan seharusnya dititikberatkan oleh kerajaan. Beras adalah makanan ruji rakyat Malay- sia. Apa gunanya kalau berbangga ada kereta nasional dan industri elektronik, tetapi rakyat kekurangan barangan keperluan asas.