beras bezaPETALING JAYA: Persatuan pengguna memberi amaran krisis keterjaminan makanan boleh menjadi “lebih parah” jika pasaran tempatan terus bergantung kepada beras import.

Bendahari Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin, berkata kerajaan harus mengambil pengajaran peningkatan mendadak harga komoditi itu di pasaran antarabangsa ketika ini, menyebabkan negara turut terkesan.

Katanya, Malaysia wajar menjadikan negara pengeluar beras seperti India, Vietnam, Thailand dan Indonesia sebagai contoh terdekat yang kini agresif meningkatkan pengeluaran beras masing-masing sebagai persediaan dunia berdepan krisis perubahan iklim.

“Kita dah ke arah krisis perubahan iklim…India, Vietnam malah Indonesia juga dah bersedia untuk mengeluarkan beras sendiri dengan lebih agresif ketika ini sebab mereka tahu akan berlaku kemarau panjang dan banjir.

“Sekarang pun kita dah lihat negara pengeluar ini mengehadkan eksport beras kerana tak mahu rakyat mereka hadapi masalah di kemudian hari. Kita sebenarnya di tahap bahaya dah,” katanya kepada FMT, mengulas kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran.

Pada 1 Sept lalu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam kenyataan mengumumkan, kenaikan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan, sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Susulan kenaikan harga beras import itu, permintaan terhadap beras tempatan turut meningkat menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Nur Asyikin mendakwa, tinjauan Fomca di lapangan mendapati hanya dua daripada 10 kedai runcit dan pasar raya menjual beras putih tempatan, manakala bakinya hanya menjual beras putih import.

“Ini bermakna betapa kritikal (beras) ketika ini. Memang kerajaan kata beras ada, padi kita keluarkan 60 hingga 70% beras tempatan, tapi pasaran kita meriah dengan beras import. Bila senario begini di mana 60-70% itu? Keterjaminan makanan itu menjadi persoalan.

“Kita tertunggu-tunggu juga kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan apa realiti sebenarnya yang berlaku isu beras/padi ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan menyelesaikan krisis itu menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) dipuji namun berpendapat sinergi antara kerajaan pusat dan negeri masih gagal.

“Strategi dah ada, cuma apa yang kita nampak kerenah birokrasi sangat terlalu panjang (lama) sebab ia merentasi pelbagai agensi kerajaan. Ada juga isu tanah, di mana tanah negeri mensyaratkan macam-macam polisi seperti nak tukar tanah industri kepada tanah pertanian ambil masa lama.

“Setiap negeri lain polisinya, jadi sekarang pusat dan negeri sepatutnya bersatu untuk tingkatkan pengeluaran padi kepada 100% melalui strategi yang dah ada. Strategi sekarang cukup bagus tapi tak guna sebaiknya,” katanya.