Premium Vector | 5g network wireless technology concept with character.  people with gadgets using extreme high speed 5g internet connection.Kuala Lumpur: Pakej 5G Rahmah dan Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam membolehkan rakyat memiliki telefon pintar dan pelan data internet yang lebih murah daripada harga pasaran ketika ini.

Inisiatif itu juga dilihat dapat membantu pengguna dalam tugasan harian selain memenuhi keperluan lain termasuk sesi pembelajaran anak secara e-pembelajaran.

Bagi penjawat awam Suzana Ismail, 43, pakej berkenaan membantu ibu bapa sepertinya yang sedang berkira-kira untuk membelikan gajet bagi keperluan pembelajaran anak-anak.

"Kalau untuk keluarga yang memang menanti masa sesuai untuk membeli gajet bagi pembelajaran anak, sudah pasti pengumuman ini sangat baik kerana pakej telefon pintar dan internet ini pada harga berpatutan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan pakej 5G Rahmah yang menawarkan pakej telefon pintar 5G dengan harga telefon pintar jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G serendah RM240 berserta pelan data 60GB pada harga RM60 sebulan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Bagi golongan B40, sejumlah 100,000 pelanggan terawal akan menikmati pakej itu dengan harga telefon pintar serendah RM120 bermula 31 Ogos ini dengan kontrak langganan selama 24 bulan.

Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam pula menawarkan pemberian rebat RM10 sebulan, sekali gus mendapat manfaat penjimatan pakej postpaid sebanyak RM120 setahun.

Pekerja sektor swasta Muhammad Syafiq, 27, melihat inisiatif bagi golongan B40 ini mampu memastikan mereka tidak merasa tercicir daripada perkembangan teknologi terkini.

"Kita tahu kalau golongan B40 ini banyak lagi keutamaan lain yang mereka perlu utamakan selain daripada kehendak untuk memiliki telefon pintar apatah lagi untuk miliki data Internet yang mahal," katanya.

Dalam pada itu, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Undang Haji Adnan, Rembau, Negeri Sembilan Fadzylah Ismail berkata Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan Internet.

"Rebat RM10 sebulan ini walaupun mungkin dilihat kecil nilainya bagi sesetengah pihak, namun bagi yang mempunyai isi rumah yang ramai, insentif ini meringankan beban pembayaran Internet," katanya.

Seorang lagi penjawat awam Norfarhana Mohd Zainal Abidin, 35, menyifatkan insentif itu sebagai penghargaan kepada pekerja sektor berkenaan untuk terus berkhidmat.

Beliau yang bekerja menggunakan telefon dan Internet sepanjang masa berkata ia juga membantu meringankan perbelanjaan bulanannya.