Setiap kali musim perayaan utama di Malaysia seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal, warga kota akan pulang ke kampung halaman masing-masing. Keadaan ini akan menyebabkan permintaan bekalan air di kawasan-kawasan tersebut akan meningkat. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada Jun 2017, bekalan air pada musim perayaan akan meningkat secara mendadak lima hingga enam kali ganda daripada kebiasaannya. Aktiviti-aktiviti persediaan menghadapi perayaan juga menjadi faktor kepada peningkatan permintaan air.

Masalah kekurangan air sewaktu musim perayaan merupakan isu yang telah berlarutan semenjak sekian lama dan tiada jalan penyelesaian yang jitu diambil. Hampir kebanyakan negeri mengalami masalah yang sama, antaranya Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pahang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan.

Antara kes yang pernah berlaku adalah seperti berikut:

  1. 18 Februari 2010, beberapa kawasan di Negeri Sembilan mengalami masalah gangguan bekalan air semasa musim perayaan.
  1. 9 Julai 2016, masalah air yang dikendalikan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) didakwa masih lagi berlarutan sehingga musim hari raya menyebabkan pengguna resah setelah air yang keluar dari paip berwarna kuning cair.
  1. 30 Oktober 2016, sambutan Deepavali terjejas akibat daripada penutupan sementara Loji Rawatan Air Semenyih.
  1. 19 Disember 2016, penduduk di Lembah Klang mengalami masalah gangguan bekalan air akibat daripada kerja-kerja pembaikan paip yang berjadual sehinggakan mengambil masa empat hari. Kerja-kerja pembaikan paip tersebut telah mengganggu persediaan perayaan Hari Natal.
  1. 29 Jun 2017, penduduk di sekitar Semenyih meluahkan kebimbangan bekalan air terputus lagi berpunca daripada paip pecah kerana ia boleh menjejaskan kehidupan harian penduduk. Bekalan air terputus menyukarkan penduduk untuk menjalankan aktiviti pada hari raya pertama.
  1. 27 Julai 2017, Kampung Pida 3 dan 3 1/2 di Jerlun Kedah mengalami masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak Aidilfitri akibat daripada paip pecah di Kolam Bukit Mengkuang dan juga pemasangan injap pengurangan tekanan di kolam air Padang Perahu.

Selain daripada masalah kekurangan air,

faktor lain yang menyebabkan masalah gangguan bekalan air ialah masalah pencemaran sumber air mentah, henti tugas loji atau kes paip pecah di paip-paip utama yang usang memburukkan lagi keadaan semasa. Tambahan pula, proses pemulihan semula bekalan air yang mengambil tempoh yang panjang turut mengeruhkan lagi masalah bekalan air kepada para pengguna.

Bekalan air terawat yang bersih dan berterusan adalah penting kepada para pengguna, terutamanya semasa musim perayaan. Musim perayaan adalah waktu untuk diraikan bersama keluarga dan sanak-saudara. Ketiadaan air semasa sambutan perayaan akan merosakkan suasana perayaan.

Oleh yang demikian, kerja-kerja pembaikan sistem perpaipan saluran air terawat yang berjadual hendaklah dijalankan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal. Manakala, sekiranya berlaku kerja-kerja pembaikan yang tidak berjadual seperti paip utama pecah atau tekanan yang rendah, maka syarikat pengendali air negeri masing-masing perlu mengambil tindakan segera dan menyediakan lebih banyak lori tangki air bagi menampung permintaan pengguna untuk sementara waktu. Syarikat pengendali air juga perlu meletakkan tong air di setiap kawasan yang kerap mengalami masalah gangguan bekalan air. Selain itu, syarikat pengendali air negeri perlu memastikan loji rawatan air berada dalam keadaan yang baik.

Di samping itu, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) perlu merangka pelan tindakan strategik bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air semasa musim perayaan. Secara kesimpulannya, pihak Forum Air Malaysia dengan kerjasama Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) akan merangka sebuah memorandum mengenai masalah ini kepada pihak- pihak berwajib seperti syarikat pengendali air, SPAN dan KeTTHA, supaya tindakan yang proaktif dan efisien dapat diambil dengan segera. Diharapkan masalah gangguan bekalan air semasa musim perayaan tidak akan berulang lagi.

Nur Imani Binti Abdullah

Forum Air Malaysia