SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna (Fomca) menyambut baik tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang telah merampas dan menyita sebanyak 167 buah kenderaan klon bernilai lebih RM13 juta dalam operasi sejak lima bulan lepas. Presiden Fomca, Datuk N Marimuthu berkata, pihaknya berharap SPRM dan JPJ akan memperluaskan operasi mereka demi kepentingan rakyat khususnya pengguna jalan raya.

"Berdasarkan apa yang disebutkan oleh kedua-dua SPRM dan JPJ semalam, Fomca juga memandang serius kewujudan kereta diklon di atas jalan raya kerana ia boleh mengakibatkan banyak isu dan risiko.

"Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan pemeriksaan dan operasi demi keselamatan orang ramai. Kita tidak mahu pihak yang tidak bersalah menanggung beban dan kesan akibat perbuatan pihak yang membeli kenderaan murah tanpa dokumen yang sah," katanya.

Katanya, Fomca mahu SPRM dan JPJ mengenakan tindakan tegas ke atas mereka yang menggunakan kenderaan klon.

"Selain menyelamatkan pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai, tindakan bersepadu JPJ dan SPRM juga mampu mengelakkan kerugian di pihak pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya.

"JPJ harus meningkatkan penguatkusaan undang-undang kerana penggunaan kereta klon bahaya kerana tidak dilindungi mana-mana insurans kerana dokumentasi kenderaan adalah palsu," katanya.

Selaku ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), saya berharap SPRM akan mengemukakan syor bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang wujud dalam sistem semasa.

 

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/fomca-harap-operasi-banteras-kereta-klon-ditingkat-1.382464