GAMBAR hiasanMei 28, 2021 @ 12:49pm
Georgetown: Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) tidak menetapkan masa semakan semula tarif air di Pulau Pinang kerana ia tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, permohonan bagi semakan tarif sudah dilakukan pihaknya pada 2019 bagi memenuhi syarat memperbaharui Lesen Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk beroperasi pada tahun 2020 hingga 2022.

"SPAN memutuskan bagi mengadakan rundingan awam mengenai permohonan semakan tarif PBAPP pada tahun 2021.

"Permohonan PBAPP pada 2019 juga sudah mematuhi arahan SPAN yang mewajibkan semua operator air di Malaysia menetapkan tarif berpatutan, sesuai dengan formula Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) SPAN," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu menghentikan rancangan bagi menaikkan tarif air yang dikatakan tidak sesuai berikutan pandemik Covid-19.

Menurut Jaseni, SPAN juga melaksanakan rundingan awam berhubung cadangan semakan tarif di Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan serta Johor bagi tahun 2021 selain Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan WP Labuan pada 2019 dan 2020.

Katanya, selepas semua rundingan awam selesai, cadangan semakan tarif air itu akan dikemukakan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), sebelum dimaklumkan kepada Kabinet Malaysia bagi kelulusan pewartaan dan pelaksanaan olehoperator air.

"Ketika sidang Parlimen pada Julai tahun lalu, Menteri KASA mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan meluluskan semakan tarif air berikutan pandemik Covid-19.

"PBAPP hanya dapat melaksanakan tarif air baharu selepas Menteri KASA mendapat kelulusan daripada Kabinet," katanya lagi.

Menurut Jaseni, berdasarkan dakwaan MCA itu, sepatutnya maklum balas mereka diberi kepada Kerajaan Persekutuan.

"Tarif domestik Pulau Pinang sedia ada adalah yang terendah di Malaysia selain memperkenalkan Surcaj Penjimatan Air (WCS) bagi penggunaan domestik yang berlebihan iaitu melebihi 35,000 liter sebulan.

"Sehingga hari ini, lebih 70 peratus pengguna air domestik Pulau Pinang tidak dikenakan caj WCS," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/711127/semakan-tarif-air-pbapp-ikut-kelulusan-kerajaan-persekutuan