bh berita harian vector logoKUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak pernah berkongsi sebarang maklumat 14.6 juta ahlinya dengan pihak luar, yang diguna untuk melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab.

Agensi itu menegaskan, pihaknya sentiasa melindungi identiti ahli dan tidak akan mendedahkan kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

"Ketika penularan wabak COVID-19, ada individu dan pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan atas musibat rakyat jelata serta ahli KWSP dengan menawarkan skim penipuan menjanjikan pulangan lumayan melalui pelaburan tertentu dalam masa singkat, atau pinjaman wang peribadi menggunakan simpanan KWSP sebagai cagaran.

"Dalam melindungi identiti 14.6 juta ahli, KWSP ingin menekankan bahawa kami tidak pernah berkongsi apa-apa maklumat peribadi ahli dengan mana-mana pihak luar atau pihak ketiga yang sering cuba mengambil kesempatan, tidak kira masa dan tempat," katanya dalam satu kenyataan.

KWSP mengulas laporan BH yang mendedahkan beberapa syarikat peminjam wang dikesan menyasarkan pelanggan dalam kalangan pencarum KWSP yang akan mengeluarkan caruman penuh atau daripada Akaun Dua, dengan menawarkan pinjaman mudah lulus.

Menjelaskan lanjut, KWSP berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menggunakan nama agensi itu untuk melakukan kegiatan tidak bertanggungjawab seperti menipu pencarum.

"KWSP memandang serius penyalahgunaan cap dagangan milik kami oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

KWSP sekali gus menyarankan kepada ahli agar memastikan simpanan mereka terpelihara untuk kegunaan persaraan atau kehilangan pekerjaan ketika tempoh krisis.

"Jangan menyalahgunakan simpanan sebagai cagaran untuk sebarang pinjaman. Lakukan pilihan bijak ketika membuat pengeluaran yang dibenarkan.

"Visi KWSP ialah membantu ahli mencapai masa depan yang baik dan kami sentiasa komited memelihara simpanan persaraan ahli serta akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membuat percubaan menyeleweng simpanan ahli," katanya.

Justeru, agensi itu mengingatkan ahli agar sentiasa berwaspada dengan tawaran yang akan menjejaskan simpanan persaraan mereka.

"Hubungi talian 03-89226000 untuk mendapatkan sebarang maklumat atau berjumpa dengan Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP di mana-mana cawangan," katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/718008/kwsp-komited-lindungi-identiti-146-juta-ahli