JOHOR BAHRU 19 April - Satu sindiket yang menjalankan kegiatan curi kabel di sekitar Kota Tinggi sejak tahun lalu yang dikenali sebagai Geng Kabel Lombok berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya dua lelaki Indonesia di Jalan Balau, Taman Meranti, Kulai Besar dekat Kulai semalam.Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ahsmon Bajah berkata, penahanan suspek itu dibuat susulan satu laporan mengenai kegiatan curi kabel di salah satu Mainhole TM yang terletak di Jalan Tun Mutahir, Kawasan Perindustrian Bandar Tenggara dibuat di Balai Polis Bandar Tenggara pada 5.30 pagi semalam.

Menurutnya, susulan laporan mengatakan terdapat sekumpulan lelaki sedang melakukan kegiatan mencuri kabel, sepasukan polis digerakkan ke tempat kejadian dan sejurus tiba, suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri bersama sebuah lori, polis mengejar mereka yang menghala ke Kulai."Pada 6.30 pagi, anggota polis dari Balai Polis Bandar Tenggara dengan dibantu tiga kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan lori yang dinaiki dua suspek warganegara Indonesia di Jalan Balau, Taman Meranti di Kulai Besar manakala seorang suspek berjaya melarikan diri.

"Dengan penahanan suspek yang berusia antara 25 hingga 45 tahun itu, sebanyak 30 kes kecurian kabel melibatkan kerugian dianggarkan RM2 juta di Kota Tinggi sepanjang tahun lalu hingga kini berjaya diselesaikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan pelbagai jenis peralatan untuk mencuri kabel, dua gelung kabel milik TM dengan ukuran panjang di antara 114 meter dan 116 meter dianggarkan bernilai RM34,272.Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula semalam hingga 1 Mei ini bagi siasatan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ahsmon berkata, polis masih mengesan beberapa individu yang dipercayai merupakan Geng Kabel Lombok."Hasil siasatan awal mendapati, modus operandi digunakan suspek adalah dengan berpura-pura sebagai kontraktor pembaikan dengan memasang papan tanda serta kon tertera Pemberitahuan Kontraktor TM semasa melakukan kegiatan itu," katanya. - UTUSAN ONLINE.