KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kerajaan sedang meneliti dan mempertimbangkan untuk mewujudkan rang undang-undang (RUU) atau Jawatankuasa Parlimen bagi mengekang penyalahgunaan media sosial sehingga boleh mencetuskan kebencian dan fahaman yang ekstremis.Beliau berkata sudah sampai masanya sistem seperti ini diwujudkan untuk memastikan tiada unsur penyebaran maklumat palsu dilaporkan secara meluas sehingga berisiko mencetus kekacauan.“Kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan bukan setakat undang-undang sahaja, ada juga cadangan yang melihat bagaimana kita boleh mewujudkan industri di mana ada peraturan sebelum sesuatu dilaporkan, maka ada sistem ia diperiksa dahulu untuk menentukan fakta atau sebagainya.

“Ia akan mengambil sedikit masa, apabila siap dan sedia, kita boleh membuat pengumuman dalam sidang media untuk beritahu apakah hala tuju kita, kalau perlu kita bawa RUU dibentang dalam Parlimen tetapi berikan kita sedikit masa,” katanya selepas menyampaikan ucapan di Majlis Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) bersama media hari ini.Turut hadir Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail dan Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.Terdahulu dalam ucapannya, Gobind menegaskan mengenai sebab perundangan dan langkah-langkah penting lain seperti pengukuhan profesionalisme media, kewartawanan beretika dan untuk mewujudkan mekanisme dan rangka kerja kawal selia kendiri penting untuk memerangi berita palsu dan menangani salah guna media sosial.

Beliau berkata ini bukan hanya menggalakkan kewartawanan yang lebih matang dan bertanggungjawab tetapi juga meningkatkan akauntabiliti serta semak dan imbang yang baik dalam kalangan pengamal media dan laporan mereka.Menurutnya, beberapa negara seperti United Kingdom, Pakistan dan Singapura juga mengambil pendekatan yang sama untuk mengawal selia atau mengawal media sosial di seluruh dunia.Gobind berharap kementerian dan semua pihak yang berkaitan dapat bekerjasama untuk mencapai satu sistem di mana kebebasan akhbar dapat dikekalkan serta dapat memastikan kewartawanan yang bertanggungjawab dalam mencari keseimbangan yang diperlukan untuk tadbir urus, media dan hak asasi manusia di Malaysia.

-- BERNAMA