Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2026

260415 sultan nazrinIPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua pihak tidak mensensasikan atau mengeksploitasi isu krisis tenaga global susulan perang di Asia Barat bagi tujuan politik sempit.

Sebaliknya titah baginda titik pertemuan perlu dicari, selain menunjukkan kesepaduan memandangkan negara berkemungkinan menghadapi risiko darurat tenaga dan bekalan makanan susulan krisis itu.

Baginda bertitah, dalam situasi ini rakyat perlu difahamkan mengenai punca dan magnitud krisis sedang berlaku serta kesan dan implikasi terhadap kehidupan harian.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/04/1533463/jangan-sensasi-eksploitasi-isu-krisis-tenaga-bagi-tujuan-politik

 

"Ini bukan masanya untuk menangguk di air keruh, mensensasikan dan mengeksploitasi keadaan bagi tujuan politik yang sempit. Tunjukkan semangat bersatu, saling bekerjasama untuk menangani krisis ekonomi yang bakal melanda, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara."Buktikan kesungguhan mengutamakan nasib rakyat, ke hilir sama menghilir, ke hulu sama menghulu; merangka formula berkesan untuk menangani keadaan yang sangat membimbangkan ini demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat," titah baginda ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Dewan Negeri, di sini hari ini.

 Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa negara perlu melakukan persiapan untuk menghadapi kemungkinan krisis global berpanjangan yang membawa kesan besar terhadap kestabilan, keselamatan serantau dan ekonomi dunia.Sehubungan itu, baginda bertitah kekuatan ekonomi domestik mesti diperkukuh di samping memastikan keterjaminan makanan, kestabilan kewangan dan perpaduan rakyat dipelihara agar negara tidak mudah terpengaruh sentimen dan sensasi.

Dalam menghadapi cabaran besar juga, baginda bertitah rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menghayati semangat berganding bahu membantu negara melalui detik sukar dengan mengamalkan sifat berhemah dan berjimat cermat.

"Di samping usaha-usaha dirintis kerajaan, rakyat mempunyai tanggungjawab. Bantu mengurangkan penggunaan bahan api seterusnya mengurangkan subsidi kerajaan.

"Rakyat hendaklah bijak mengamalkan gaya hidup berjimat tenaga melalui penggunaan elektrik yang terkawal, di samping mengamalkan budaya penjimatan dan mengelakkan pembaziran terutamanya bahan makanan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, kerajaan di bawah naungan baginda sewajarnya mengambil iktibar dengan krisis sedang berlaku dengan tidak boleh berpeluk tubuh dan bersikap pasif, sebaiknya melihatnya sebagai loceng amaran untuk merintis langkah proaktif.

Titah baginda, ia termasuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai penyelesaian jangka panjang, selain segera melakukan usaha membangunkan kemudahan untuk menggalakkan rakyat memiliki opsyen supaya boleh beralih kepada tenaga alternatif termasuk kenderaan elektrik dan sumber tenaga boleh diperbaharui, solar dan hidro.

"Usaha peralihan kepada tenaga alternatif hendaklah dirancang, disegerakan dan dilaksanakan secara bersungguh. Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik yang wajib disegerakan," titah baginda.