Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2022

fomca logoSeptember 18, 2022 @ 1:00pm
Soalan (S): Apa pendirian FOMCA berhubung kenaikan OPR berturut-turut?

Jawapan (J): Sudah tentu keputusan BNM mempunyai kaitan langsung dengan ekonomi negara. Apabila OPR ditingkatkan, pada asasnya, pihak berkenaan mahu mengukuhkan nilai ringgit, selain memastikan simpanan dalam negara meningkat, susulan dua tahun negara berdepan pandemik. Dengan situasi dalam proses pemulihan ekonomi, pada asasnya, langkah kerajaan bertujuan melindungi ekonomi negara. Jadi apa dilakukan sekarang adalah berdasarkan ekonomi semasa. Jika tidak, bank akan terkesan dalam jangka panjang kerana kita bergantung dengan dolar AS, selain akan menghadapi kerugian besar. Pada masa ini, kadar OPR dinaikkan berperingkat dan sudah tentu yang mengalami kesannya adalah peminjam.

S: Apa saranan FOMCA terhadap peminjam dalam menghadapi kenaikan OPR?

J: Peminjam harus faham, ia berdasarkan perjanjian ditandatangani kerana tertera dalam dokumen perjanjian, iaitu jika berlaku perubahan OPR, pinjaman akan berubah. Ramai terkesan dengan situasi pandemik COVID-19 seperti alami kekurangan pendapatan dan hilang pekerjaan. Selain tekanan kenaikan harga barang, inflasi serta indeks harga sangat tinggi mengakibatkan kuasa beli pengguna jatuh. Ini turut menjejaskan kadar simpanan dan memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan serta pada masa sama, mereka perlu memastikan ada makanan di atas meja untuk dimakan ahli keluarga.
Jadi, rakyat dalam kumpulan terjejas ini perlu menggunakan wang simpanan untuk menampung perbelanjaan. Faktor ini menyumbang masalah kewangan dan penambahan bebanan perbelanjaan pengguna. Namun, apa perlu dilakukan orang ramai jika tidak mampu melunaskan ansuran pinjaman, mereka perlu menghubungi pihak bank untuk membuat penjadualan semula pinjaman. Jika tidak membuahkan hasil, pengguna boleh mendapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK akan memberi nasihat kewangan mengenai perkara sepatutnya dilakukan, jenis intervensi dan jika masih tidak mampu, akan berunding dengan bank untuk langkah seterusnya.

Bagaimanapun, ramai anggap AKPK penyelesaian paling akhir. Ia tanggapan salah kerana pengguna sepatutnya mengunjungi AKPK dari awal, agensi itu tidak semestinya mengatur pelan pembayaran peminjam, tetapi langkah pertama adalah memberikan kesedaran atau pendidikan terlebih dahulu. Contoh, AKPK akan membantu menyusun kehendak dan keperluan peminjam dalam mengurangkan perbelanjaan serta keutamaan berdasarkan kedudukan kewangan. Jika peminjam benar-benar bermasalah, barulah AKPK akan membantu peminjam dari segi penjadualan pembayaran di bawah strukturnya.

Jadi, lebih baik peminjam ke AKPK berbanding membiarkan nama, termasuk dalam rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI). Sekiranya terperangkap dengan MdI, sememangnya sudah terlambat kerana peminjam akan atau hampir diisytihar muflis. Sebaliknya AKPK adalah agensi kerajaan yang boleh memberikan khidmat kaunseling kepada peminjam.

Berkaitan pengiraan pakar mengenai kadar faedah pinjaman naik hingga lima peratus, ia sememangnya masuk akal kerana OPR kita sebelum berlaku pandemik memang sudah tinggi dan peminjam memang membayar dalam jumlah tinggi.

Namun, ketika pandemik, OPR kita jatuh teruk, peminjam tahu anggaran apabila ekonomi sudah pulih, iaitu bayaran awal sebelum OPR berubah. Namun, dalam kalangan peminjam baharu, mereka mungkin tidak tahu, sebaliknya peminjam sebelum pandemik sudah tahu jumlah asal ansuran pinjaman bergantung kepada OPR yang ditetapkan. Jadi, mereka sepatutnya menyimpan lebihan ansuran ketika OPR jatuh untuk kecemasan.

S: Langkah fiskal lain boleh diambil untuk bantu peminjam terkesan akibat kenaikan OPR?

J: Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umumkan sektor perbankan akan melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dalam usaha membantu peminjam dalam kumpulan 50 peratus terbawah (B50) yang terjejas. Mereka yang terjejas dengan situasi pandemik dan mengalami masalah pembayaran, boleh mendapatkan bantuan AKPK bagi penjadualan semula pembayaran, tetapi ia bukan dalam bentuk moratorium. Oleh itu, BNM tampil dengan program URUS untuk membantu B40 dan B50 yang terjejas akibat pandemik. Pemberian moratorium bayaran balik pinjaman agak rumit.

S: Wajarkah inisiatif khas bagi membantu peminjam seperti bantuan tunai dan moratorium seperti yang dilaksanakan ketika pandemik COVID-19?

J: Kerajaan perlu mengetatkan safety net, terutama kepada kumpulan B40 dan perlu menekankan bentuk bantuan untuk mereka kerana kumpulan ini biasanya tidak mempunyai simpanan. Jika mereka menghadapi sebarang insiden ataupun terjejas dengan pandemik, mereka paling teruk terjejas. Jadi untuk B40, kerajaan perlu menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu mereka contohnya melalui pemberian subsidi.

Memang ada pro dan kontra berikutan kenaikan OPR, namun impak paling besar sudah tentu terhadap pengguna. Sebab itu, kerajaan perlu meningkatkan kadar produktiviti yang sudah tentu baik untuk negara kita. Lihat saja pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan gaji minimum RM1,500, ia menandakan ekonomi berada pada landasan tepat. Sebenarnya, bukan hanya pengguna alami kesan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mempunyai pinjaman dan akan mendapat kesan sama.

S: Kumpulan berpendapatan sederhana lazimnya sering tidak beroleh manfaat daripada bantuan kerajaan, sedangkan ada yang dahulu M40 sudah masuk dalam B40?

J: Memang tidak dinafikan M40 sering menjadi mangsa. Ramai antara pengguna jatuh ke dalam B40 apabila pandemik melanda. Pada masa ini, mereka boleh mendapatkan bantuan melalui inisiatif URUS. Apabila jatuh ke dalam B40, mereka layak mendapatkan bantuan daripada AKPK yang bukan hanya tempat rujukan selepas pandemik, tetapi tempat penyelesaian masalah kewangan bagi peminjam. Memang banyak orang memperoleh manfaat daripada program AKPK, jadi jangan meletakkan persepsi negatif terhadap agensi ini. Ia entiti tepat untuk bantuan penyelesaian masalah kewangan.

S: Bagaimana kerajaan boleh memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan inflasi?

J: Nampaknya kali ini kerajaan lebih bersedia. Ia dapat dilihat apabila negara menghadapi inflasi dan peningkatan kos sara hidup, ditubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup, selain menghapuskan permit import (AP), penurunan harga minyak masak botol serta menambah baik sektor pengangkutan. Namun, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif, bukan sekadar 'menggula-gulakan rakyat' menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

FOMCA berharap perkara ini bukan bersifat gimik semata-mata, sebaliknya kekal untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Justeru, apa jua tampuk pemerintahan kerajaan selepas ini, perlu mengekalkan keutamaan mengurangkan kos sara hidup rakyat dan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi perlu diteruskan. Ternyata melalui pasukan khas ini, banyak pengajaran kerajaan dapat, termasuk memperkasakan dasar sekuriti negara, membawa penyelesaian import masuk, menghasilkan makanan sendiri yang tidak mengambil masa setahun dua, tetapi tempoh panjang.

Kita sudah mempunyai platform itu dan jika lepaskan, ia akan menimbulkan masalah besar. Sekarang dunia sedang berdepan perubahan iklim, Malaysia tidak terkecuali. Perkara ini akan memberikan kesan kepada negara. Oleh itu, kerajaan perlu gandakan persediaan dari sekarang demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat dan juga dalam menjamin sekuriti makanan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan PersatuanPersatuan Pengguna Malaysia

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/09/1001695/kerajaan-perlu-perketat-jaringan-keselamatan