Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2022

fomca logoJulai 4, 2022 @ 4:46pm
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan pengauditan dan pemutihan secara komprehensif membabitkan 22 pengeluar serta 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara.

Untuk itu, Perdana Menteri mengarahkan pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 'menggempur' dari peringkat kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tiada penyelewengan berlaku.

Katanya, ia bertujuan mendapatkan status sebenar jumlah minyak masak paket daripada syarikat pengeluaran dan pembungkusan serta maklumat lengkap penerima minyak masak bersubsidi itu.

"Ia bagi memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion yang disalurkan tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak berlaku ketirisan dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

"Tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi," katanya melalui kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL).

Mesyuarat dihadiri beberapa menteri Kabinet serta wakil dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Hadir sama wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

Lima kertas dibentangkan dalam mesyuarat terbabit oleh tiga kementerian iaitu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal

Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta DOSM.

Bermula 1 Julai lalu, kerajaan memansuhkan program subsidi sementara merangkumi minyak masak berbotol bagi satu kilogram (kg), dua kg, tiga kg dan lima kg, membabitkan peruntukan RM55 juta sebulan.

Bagaimanapun, kerajaan mengekalkan subsidi minyak masak berpaket dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.

Subsidi ditanggung kerajaan untuk minyak masak berpaket membolehkannya dijual RM2.50 sekilogram ketika ini, berbanding harga pasaran sebenarnya iaitu RM9 sekilogram bagi kegunaan domestik.

Ismail Sabri berkata, perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi dalam negara berjumlah 60,000 tan sebulan adalah melebihi daripada

penggunaan isi rumah dalam negara.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan bagi mengatasi masalah ini yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/972899/rantaian-bungkus-semula-minyak-masak-paket-digempur