Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2022

fomca logoFebruari 7, 2022 @ 2:55pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan sepenuhnya Endorsmen 106 daripada polisi insurans kenderaan persendirian kerana didakwa mengelirukan pengguna.

Presidennya, Datuk Dr Marimuthu Nadason, berkata pengguna keliru kerana mendapati perkara Endorsmen 106 masih terkandung dalam polisi insurans kenderaan persendirian walhal BNM selaku pengawal selia industri insurans pernah membatalkan perkara itu pada 2016.

Endorsmen 106 yang didakwa skim perniagaan tidak sihat kerana mengkehendaki pemegang insurans hanya boleh menghantar kenderaan mereka untuk dibaiki di bengkel panel seperti tertakluk di bawah Skim Pembaikan Diluluskan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) (PARS).

PARS tidak memberi kebebasan kepada pengguna yang tidak berpuas hati kerana dihalang menghantar kenderaan rosak ke bengkel mereka percaya seperti termaktub dalam tonggak pertama hak kepenggunaan untuk kebebasan memilih.

"Pengguna tidak berpuas hati kerana mereka dipaksa untuk mengalihkan kenderaan mereka yang rosak ke bengkel yang mereka tidak mahukan. Terdapat segelintir bengkel menggunakan alat ganti tidak tulen dan buruk hasilnya termasuk tidak boleh dipercayai serta tidak selamat.

"Ini kerana, ramai pengguna mempunyai bengkel pilihan mereka tetapi mereka pula dinafikan kebebasan untuk memilih kerana endorsmen ini yang bertentangan dengan hak pengguna.

"BNM mestilah mengeluarkan Endorsmen 106 sepenuhnya dari borang polisi sejak perkara itu dimansuhkan. Pengguna keliru kerana mereka masih melihat Endorsment 106 masih terkandung dalam polisi kenderaan persendirian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Marimuthu mahu BNM memperjuangkan apa yang termaktub dalam Layanan Adil terhadap Keadilan Pengguna (FTFC) di mana syarikat insurans termasuklah penyedia perkhidmatan kewangan lain supaya sentiasa mematuhi dan melindungi pengguna.

Rentetan isu yang timbul, beliau berkata FOMCA dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima banyak aduan pengguna yang mendakwa syarikat insurans mendesak mengalihkan kenderaan ke bengkel panel mereka.

"Syarikat insurans menjadikan keadaan lebih menyusahkan pengguna kerana berlaku kelewatan dalam memberikan perkhidmatan yang diperlukan.

"Ini kerana, ada sesetengah pengguna yang hanya memiliki sebuah kenderaan untuk digunakan dan situasi ini cuma mengakibatkan golongan itu menghadapi keletihan mental.

"FOMCA sebelum ini ada membawa perkara ini kepada perhatian BNM. Justeru, FOMCA menggesa BNM supaya menggesa syarikat insurans untuk mengeluarkan Endorsmen 106 dan terma bengkel panel daripada polisi kenderaan persendirian bagi memberi kebebasan memilih kepada pengguna," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/02/919803/pengguna-mahu-bebas-pilih-bengkel-baiki-kenderaan