Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2022

fomca logo10 Jan 2022
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Rakyat tidak perlu risau berhubung tarif elektrik baharu bagi tahun 2022 hingga 2024 yang bakal diumumkan kerajaan tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata, dijangkakan tidak berlaku sebarang kenaikan dalam masa terdekat.

Beliau menjelaskan, walaupun terdapat kenaikan yang akan diumumkan, ia tidak menjejaskan rakyat kerana akan ditanggung oleh Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

“Saya rasa tiada perubahan dalam tarif elektrik. Namun begitu, ia bergantung kepada kos sumber bahan bakar untuk menghasilkan tenaga dan kos operasi penghasilan tenaga. Ini berdasarkan kepada harga bahan api semasa.

“Jika ada kenaikan pun, ia akan ditampung melalui subsidi kerajaan oleh KWIE.

“Jadi, pengguna tidak akan bayar kalau harga naik. Dalam erti kata lain, ia telah diberi subsidi oleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Ahad, kerajaan memberi jaminan tarif elektrik baharu bagi tahun 2022 hingga 2024 akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat tidak akan membebankan rakyat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sudah membuat keputusan berhubung penetapan tarif elektrik dalam tempoh tiga tahun berkenaan.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, tarif elektrik perlu dikekalkan bagi membantu rakyat yang masih lagi terjejas akibat pandemik Covid-19 serta bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

“Selalu kalau ada kenaikan bil elektrik, harga barang juga akan meningkat.

“Jadi, jika tiada sebarang kenaikan harga, peniaga juga tidak akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang. Ini juga akan membantu dari segi kos sara hidup,” ujar Saravanan.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak mengambil peluang terhadap kelebihan tersebut, sebaliknya mengamalkan penjimatan elektrik di rumah.