Print
Category: FOMCA di pentas media 2021

fomca logoDisember 17, 2021 @ 5:42pm
KUALA LUMPUR: Institusi perbankan disaran menyerap dan menanggung caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi memastikan pengguna dapat menikmati perkhidmatan itu tanpa bayaran.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata penyerapan caj RM1 oleh pihak bank untuk pengguna disifatkan relevan kerana institusi itu masih merekodkan keuntungan sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu.

"Kita maklum bahawa caj RM1 itu adalah sebagai kos pengurusan dan bayaran perkhidmatan kepada sistem MEPS. Namun, disebabkan bank masih memperoleh keuntungan, jadi institusi itu boleh menyerap kos terbabit bagi pihak pengguna.

"Sekurang-kurangnya caj itu diserap pihak bank sehingga keadaan ekonomi bertambah baik, dijangka bagi tempoh enam bulan lagi," katanya kepada BH.

Sebelum ini, beberapa bank, termasuk Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC memuat naik notis di platform media sosial masing-masing mengenai keputusan untuk mengenakan semula caj pengeluaran RM1 menerusi ATM, berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

Mohd Yusof berkata, pihak bank juga sepatutnya menyerap caj transaksi dalam talian bagi menggalakkan lebih ramai pengguna menjalankan urus niaga bank tanpa fizikal.

"Ini kerana apabila kita menggunakan urus niaga secara dalam talian, pihak perbankan sudah banyak menjimatkan kos dalam aspek penggunaan tenaga kerja," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), Mohd Prasad Hanif, berkata caj RM1 itu dikenakan bank bagi menampung kos perkhidmatan daripada teknologi yang digunakan itu.

"Sebelum ini pun memang pihak bank sudah mengenakan caj ini dan kemudian, ia diserap untuk meringankan beban pengguna.

"Caj ini hanya akan dikenakan semula pada Februari, yang mana ketika ini keadaan ekonomi dijangka sudah semakin baik," katanya.

Beliau berkata, pengguna juga boleh mengelakkan daripada dikenakan caj RM1 dengan melakukan transaksi di mesin ATM bank masing-masing.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.

Langkah itu bagi memudahkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS ketika pelaksanaan PKP.

Caj RM1 dikenakan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) kepada pelanggan

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/899976/bank-patut-serap-caj-transaksi-rm1