Print
Category: FOMCA di pentas media 2021

Federation of Malaysians Consumers AssociationsDecember 11, 2021 1:02 PM
PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mencetuskan beberapa persoalan dan kritikan apabila mengumumkan pentadbirannya memperoleh 90% dalam petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan kerajaannya bagi 100 hari pertama.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), N Marimuthu, berkata, kerajaan menilai sendiri prestasinya adalah tidak masuk akal.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata: “Rakyat yang sepatutnya memberi markah. Macam mana kerajaan yang menetapkan kertas soalannya, menandanya, dan kata dapat markah A+?”

Menarik perhatian kepada isu kenaikan harga makanan, Marimuthu berkata kerajaan harus ingat bahawa “rakyat adalah raja” dan pandangan mereka mengenai prestasi kerajaan perlu diambil kira.

Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, juga berkata adalah pelik kerajaan melakukan pemarkahan kendiri dan mendakwa telah mencapai skor KPI 90%.

C4 tertanya bagaimana Ismail mendapat peratusan itu dan menggesa Perdana Menteri menghebahkan butiran kad laporan supaya orang ramai boleh menilainya.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, dari PKR menggesa 140 sasaran utama yang dikatakan telah dicapai kerajaan itu diterbitkan.

“Saya ragu-ragu dengan dakwaan itu kerana saya tidak merasakan ekonomi keseluruhan kini jauh lebih baik daripada 100 hari lalu,” katanya.

“Terdapat kekurangan tenaga kerja yang berterusan dan semua orang kecewa dengan harga makanan yang tinggi. Terdapat juga persepsi bahawa kepimpinan dan pentadbiran adalah tidak meyakinkan.”

Wong ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai kewangan dan ekonomi.

Beliau juga berkata kempen Keluarga Malaysia Ismail dikatakan dibelenggu dasar berasaskan kaum, seperti mengenakan kawalan ke atas arak dan perjudian dan memperluaskan dasar Bumiputera di bawah Bajet 2022.

Ahli ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Razak bertanya sama ada markah 90% itu cuma melibatkan perancangan kerajaan sahaja atau projek dan skim yang telah dilaksanakan.

“Ini kerana kita melihat banyak program seperti subsidi dan bantuan diumumkan pada 2020 tetapi dilaksanakan pada 2021,” katanya. “Adakah pelaksanaan yang tertangguh termasuk dalam KPI?”

Beliau juga berkata kerajaan masih belum mencapai sasarannya menyediakan 500,000 pekerjaan tahun ini dan sasaran itu ditetapkan pada tahun lepas.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/12/11/kpi-capai-90-tunjuk-butirannya-pm-diberitahu/