Print
Category: FOMCA di pentas media 2021

fomca logoSeptember 28, 2021 @ 3:13pm
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menetapkan kontrak bersama pengeluar atau penternak ayam sebagai antara langkah penyelesaian mengawal mekanisme harga yang dilihat turun naik secara bermusim setiap tahun.

Pada masa sama, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata katanya, subsidi yang disediakan perlu diteruskan.

"Isu kenaikan harga ayam di pasaran bukan perkara asing, malah kerap dipersoalkan pengguna hingga menjadikannya seolah-olah trend bermusim.

"Pelbagai langkah boleh diambil pihak berkaitan seperti menetapkan harga ayam dalam tempoh tertentu termasuk kontrak menetapkan harga bahan dedak seperti jagung dan kacang soya, di samping mengadakan perjanjian bersama penternak serta peladang," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan berhubung kesediaan pihak industri menurunkan harga ayam di peringkat pengeluar atau peladang bagi membolehkan pengguna mendapatkan bekalan bahan makanan itu dengan harga berpatutan.

Mohd Yusof berkata, pelaksanaan cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan (MAFI) memanfaatkan semua pihak.

"Cadangan termasuk pemberian kemudahan pinjaman mudah bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam mencukupi perlu disegerakan, termasuk memastikan subsidi harga komponen makanan ayam yang diimport," katanya.

Beliau berkata, pengguna perlu mengambil kira situasi pengeluar atau penternak yang menghadapi masalah di peringkat pengeluaran.

"Ini termasuk keperluan pasaran musim pandemik COVID-19 yang tidak menentu, namun sebagai bahan makanan mentah yang sentiasa mendapat permintaan tinggi, isu naik harga ayam perlu ditangani segera.

"Ia bukan sahaja menerusi pemantauan pihak berkuasa tetapi di peringkat asas iaitu pengeluar dan penternak," katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata penternak dan peladang ayam bersetuju mengurangkan margin keuntungan menerusi perbincangan dengan mereka sebelum ini.

"Ini bagi membolehkan harga di peringkat pengguna dapat distabilkan dan harga ayam di pasaran didapati mulai stabil sejak dua minggu lalu," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/869869/ikat-kontrak-dengan-pengeluar-penternak-ayam