Print
Category: FOMCA di pentas media 2021

mymetroIsnin, 15 Jun 2020 @ 11:50 AM
TAKTIK penjenayah meminta mangsa memuat turun aplikasi kononnya daripada Bank Negara Malaysia (BNM) memerangkap jurureka grafik apabila wang simpanan berjumlah RM19,998 lesap selepas dia menyerahkan maklumat akaun bank.

Dalam kejadian Sabtu lalu, wanita berusia 27 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki kononnya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan perlu menjelaskannya secepat mungkin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa terkejut dengan panggilan itu memandangkan dia tidak memiliki sebarang syarikat seperti yang dimaklumkan.

"Panggilan mangsa kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk buat laporan atas talian.

"Selepas disoal siat mangsa menerima pautan aplikasi BNM melalui WhatsApp dan diminta untuk muat turun aplikasi berkenaan.

"Mangsa tidak mengesyaki apa-apa memandangkan dia percaya bahawa aplikasi BNM itu adalah benar lalu mengisikan segala maklumat peribadi dan perbankan miliknya," katanya dalam kenyataan di Georgetown, hari ini.

Jelasnya, mangsa akhirnya sedar dirinya ditipu apabila dia tidak dapat masuk ke akaun bank miliknya memandangkan kata laluan sudah ditukar.

"Mangsa terus membuat panggilan dengan pihak bank untuk semakan dan mendapati wang miliknya berjumlah RM19,998 sudah dipindahkan ke akaun bank tidak dikenali.

"Dia yang terkejut dengan kejadian sekelip mata itu datang membuat laporan polis semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/589897/aplikasi-bnm-konon