Print
Category: FOMCA di pentas media 2019

SEJAK kebelakangan ini, ramai pengguna khususnya dalam kalangan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah mengeluh mengenai kenaikan harga pelbagai barang keperluan seharian sehingga menyusahkan kehidupan mereka.Bermula daripada barangan basah seperti ikan, daging, te­lur sehinggalah kepada barangan keperluan lain seperti sabun basuh dan ubat gigi, harganya kini banyak yang melambung.

Bagi yang berpendapatan tinggi, mereka mungkin tidak merasai sangat keperitan ekoran kenaikan harga barang ini. Namun, kepada mereka yang bergaji rendah pastinya akan merasai kesukaran untuk memenuhi keperluan keluarga mereka setiap hari.Sebenarnya, itulah situa­si yang terpaksa dihadapi oleh sebahagian besar daripada masyarakat kita hari ini apabila para peniaga mula memberi pelbagai alasan untuk membolehkan mereka menjual barangan pada harga yang tinggi.

Dalam kes-kes tertentu, peranan yang dimainkan oleh orang tengah sering kali dikaitkan sebagai punca kepada kenaikan harga sesuatu barangan selain pelbagai lagi alasan lain yang dikemukakan seperti kenaikan kos operasi atau bahan mentah sehingga menyebabkan pihak pengeluar tidak mampu lagi untuk menjual produk mereka pada harga yang rendah.Suka ataupun tidak, pengguna dilihat seolah-olah tiada pilihan selain terpaksa menghadapi senario itu dan terpaksa membeli sesuatu produk atau barangan keperluan yang diperlukan walaupun ia dijual pada harga yang tinggi.Bagaimanapun, kita sebagai pengguna sebenarnya masih mampu bertindak untuk me­ngatasi perbuatan segelintir peniaga tamak yang menjual barangan mereka pada harga yang tinggi. Sebenarnya ramai yang tidak sedar bahawa kita mempunyai ‘kuasa’ yang sekurang-kurangnya boleh ‘mengawal’ harga barangan daripada dijual pada harga sesuka hati oleh para peniaga yang tamak ini.

Kuasa yang dimaksudkan itu ialah kuasa pengguna iaitu jika kita semua sepakat, kita boleh ‘mengajar’ para peniaga yang tidak bertanggungjawab ini daripada menjual barangan mereka dengan harga yang tinggi. Sebagai contoh, jika sesuatu harga barangan itu didapati dijual pada harga yang tidak munasabah, semua pengguna seharusnya sepakat untuk tidak membelinya dengan memboikot barangan tersebut.

Percayalah, jika ini dapat kita lakukan, ia sebenarnya akan dapat ‘mengajar’ para peniaga berkenaan sekali gus akan dapat mengekang kenaikan harga barang.Masalahnya, tidak ramai daripada kita yang sanggup bersepakat dan bersatu untuk berbuat demikian terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai masalah de­ngan wang kerana mereka tetap akan membeli sesuatu barangan atau produk itu walaupun harganya mahal.Perbuatan kita tetap membeli barangan berharga mahal itu secara tidak langsung seolah-olah kita ‘mengizinkan’ para peniaga tadi menaik­kan harga barangan mereka. Untuk itu, kita sebagai pengguna seharusnya bijak menggunakan kuasa yang ada pada kita de­ngan memboikot mana-mana barang­an atau produk yang dijual pada harga yang tinggi.

Jika itu dapat dilakukan, insya-Allah kenaikan harga barangan keperluan khususnya yang digunakan oleh semua lapisan masyarakat akan dapat dibendung. Selain memben­dung kenaikan harga, ia juga dapat membantu pengguna daripada tertipu dengan peniaga yang tidak bertanggungjawab.Peranan ini seharusnya dimainkan oleh persatuan-persa­tuan pengguna dengan menyebarkan segala maklumat mengenai mana-mana bara­ngan yang perlu diboikot melalui saluran media-media sosial supaya satu tindakan besar-besaran daripada pengguna dapat dilakukan secara menyeluruh.Sanggupkah kita semua mela­kukan sedemikian? Jika kita benar-benar mahu mengelak daripada para peniaga menaikkan harga secara berterusan, maka semua pengguna mesti bersatu dan sepakat dalam hal ini. Itu sahaja kuasa yang pengguna miliki dan gunakanlah kuasa pengguna itu dengan sebaik mungkin.