Print
Category: FOMCA di pentas media 2019

KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) mengingatkan orang ramai supaya mengabaikan panggilan kononnya dari 'bank' mengenai jumlah tunggakan pinjaman atau meminta pengesahan transaksi kad kredit.

"Bank-bank tidak akan meminta maklumat peribadi melalui panggilan telefon," menurut persatuan itu dalam kenyataan di sini.

ABM menjelaskan, berdasarkan laporan diterima, terdapat dua modus operandi yang kerap digunakan oleh pemanggil palsu terbabit.
Modus operandi pertama melibatkan mesej yang telah direkodkan akan memaklumkan penerima panggilan bahawa mereka mempunyai jumlah pinjaman tertunggak.


Bagi modus operandi kedua, pemanggil akan memperkenalkan dirinya sebagai "pegawai bank" dan memaklumkan terdapat transaksi menggunakan kad kredit, atau bayaran pinjaman/kad kredit penerima panggilan telah tertunggak.

Pemanggil kemudiannya akan bertanya mengenai maklumat peribadi penerima panggilan kononnya untuk menyemak sistem mereka, menurut ABM.

Dalam beberapa kes, pemanggil akan memindahkan panggilan itu kepada "pegawai" kononnya dari bahagian aduan atau seumpamanya.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak melaksanakan arahan yang diberikan pemanggil dan jangan dedahkan sebarang maklumat peribadi. Selain itu, jangan menelefon nombor yang diberikan pemanggil palsu tersebut," kata ABM.

Orang ramai boleh menghubungi talian ABMConnect di 1-300-88-9980 atau layari laman web ABM di www.abm.org.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber :- BERNAMA/http://www.astroawani.com/berita-malaysia/waspada-panggilan-palsu-dari-bank-dapatkan-maklumat-peribadi-abm-138439