Print
Category: FOMCA di pentas media 2019
Malaysia mempunyai lebih 1.32 juta tangki septik individu dan Pahang mempunyai sebanyak 137,569 tangki septik individu. Tangki septik individu (IST) merupakan jenis sistem pembetungan yang paling 'ringkas’ dan mempunyai ruang simpanan yang terhad. Sesebuah IST itu meliputi dua ruang yang bersambung secara bersiri. 
 
Di dalam ruang yang pertama, pepejal daripada kumbahan akan mendap dan membentuk "enapcemar" manakala gris dan minyak akan terapung di permukaan dan membentuk lapisan skum. Efluen di antara lapisan skum dan enapcemar akan mengalir ke ruang kedua di mana pemendapan seterusnya akan berlaku. Akhirnya, efluen akan meninggalkan ruang yang kedua dan akan dilepaskan ke longkang atau parit. Sekiranya, IST tidak dikosongkan secara berjadual maka enapcemar dalam ruang IST akan melimpah keluar dan mencemari longkang dan parit. 
 
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) telah pun menjalankan aktiviti pengosongan tangki septik individu  di 50 buah premis di kawasan Taman Balok Makmur, Balok. Aktiviti pengosongan tangki septik individu ini adalah merupakan intipati bagi Program Kesedaran Pengosongan Tangki Septik Individu Peringkat Negeri Pahang yang bakal diadakan pada awal bulan Mei 2017. 
 
Program kesedaran ini dijalankan adalah untuk memupuk kesedaran orang ramai khususnya penduduk di sekitar Balok mengenai kepentingan pengosongan tangki septik individu (IST) kepada alam sekitar dan kesihatan awam. Hal ini selaras dengan isu pencemaran Sungai Nyior yang berlaku pada awal tahun 2016 yang dikatakan berpunca daripada limpahan air kumbahan dan enapcemar daripada IST milik premis penduduk sekitar ke longkang dan seterusnya dialirkan ke dalam sungai. Pengosongan IST di Taman Balok Makmur adalah berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh IWK di mana didapati bahawa selama lebih 20 tahun penduduk di perumahan Taman Balok Makmur tidak melakukan pengosongan IST. 
 
Air kumbahan yang disalurkan terus ke dalam sungai tanpa melalui proses rawatan boleh mengganggu gugat ekosistem sungai, mencemarkan sumber air dan boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan awam. Oleh sebab itu, sekiranya didapati sesebuah premis gagal untuk memastikan sistem pembetungan persendirian mereka berada dalam keadaan bersih dan baik maka ia boleh dikenakan denda tidak lebih lima puluh ribu ringgit (RM 50,000) atau dipenjarakan tidak lebih daripada enam (6) bulan atau kedua-duanya di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 Seksyen 66 (1), jika disabitkan kesalahan. 
 
Kempen kesedaran ini bersesuaian dengan tema Hari Air Sedunia 2017 iaitu Air Sisa (Wastewater) di mana ia menekankan tentang kepentingan penggunaan semula air sisa untuk tujuan tertentu. Air sisa yang tidak dirawat boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar namun air sisa yang dirawat boleh menyelamatkan alam sekitar. Air sisa juga boleh dirawat dan boleh dijadika sumber minuman. Oleh itu, amat penting untuk kita memastikan tangki septik individu perlu dikosongkan secara berkala dalam memastikan sumber air dipelihara.