Print
Category: FOMCA di pentas media 2016 - 2017

“Diri Anda Adalah Apa Anda Makan”. Gaya pemakanan yang sihat amat penting bagi kesihatan yang baik. Oleh itu, seseorang itu perlu mempunyai tabiat pengambilan makanan yang sihat dari kecil lagi.

Bagi memupuk gaya pemakanan yang sihat ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak –anak tentang kebaikan makan makanan yang sihat.

Namun, akibat kecuaian ibu bapa untuk mengawal gaya pemakanan anak –anak mereka, kanak –kanak pada masa kini gemar untuk makan makanan ringan. Makanan sihat seperti sayur, daging ,ikan, buah-buahan diketepikan oleh kanak-kanak zaman sekarang. 

Tren pengambilan makanan ringan di kalangan kanak-kanak di Malaysia bermula apabila mereka baru berumur 1 tahun. Kanak-kanak yang berumur 1 tahun ke atas diberi makanan seperti coklat ,aiskrim, gula-gula, snek dan lain-lain.

Kandungan yang terdapat di makanan ringan seperti gula, garam, lemak, pengawet, pewarna dan Monosodium Glutamat (MSG) boleh mengakibatkan kanak –kanak terdedah kepada pelbagai jenis penyakit.

Antara penyakit yang dihidapi oleh kanak-kanak akibat pengambilan makanan ringan yang keterlaluan ialah seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, asma, obesiti dan lain-lain.

Langkah-langkah bagi mengatasi masalah ini perlu dititik beratkan oleh ibu bapa. Kanak-kanak harus diajar untuk makan makanan seperti sayur-sayuran, buahan-buahan, kekacang, ikan, daging dan  lebihkan pengamalan minum air masak.

Kesalahan utama yang dilakukan oleh ibu bapa adalah membelikan anak-anak makanan ringan sebaik sahaja diminta oleh anak-anak. Fikirkan dulu keburukan daripada makanan ringan tersebut sebelum membelikanya. Apabila ibu bapa tidak membeli makanan ringan lama-kelamaan kanak-kanak akan membiasakan diri untuk makan makanan yang sihat.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu mendidik pelajar-pelajar tentang kebaikan makanan sihat dan memantau penjualan makanan di kantin. Penjualan makanan ringan di kantin perlu dikurangkan untuk mengurangkan masalah kesihatan di kalangan pelajar kerana merekalah generasi masa depan negara.

Oleh itu, setiap kanak-kanak perlu sentiasa sihat dan cergas untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Jeyamaleni a/p Gurusamy

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)