Print
Category: FOMCA di pentas media 2016 - 2017

Golongan muda iaitu di bawah umur 40 tahun di Malaysia ataupun golongan ini dipanggil golongan belia di mana mereka ini sama ada sudah sedia atau tidak melangkah untuk menempuh satu kitaran hidup yang baru di mana mereka akan berdiri dengan kaki sendiri apabila mereka mendapat pekerjaan dan dapat menanggung perbelanjaan sendiri serta mungkin juga mereka ini akan bekeluarga pada hari kelak.

Namun demikian, persoalan akan timbul sejauhmanakah mereka mampu mengendali atau mengurus kewangan dengan berhemat. Kebolehan mengurus kewangan dengan cekap dan baik merupakan satu kemahiran yang penting supaya individu bijak berbelanja mengikut kemampuan dan mencapai matlamat kewangan yang diingini. Cara seseorang menggunakan wang pada hari ini akan memberi kesan terhadap gaya hidupnya pada masa akan datang.Tambahan lagi, keperluan hidup yang semakin mendesak di samping kos sara hidup yang semakin meningkat memaksa golongan belia ini memilih jalan untuk berhutang. 

Data kajian yang diperolehi daripada sumber Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) menunjukkan ramai pekerja muda menghadapi masalah kewangan yang serius, manakala dalam dapatan kajian yang dijalankan  oleh Universiti Putra Malaysia ke atas golongan belia menunjukkan mereka ini mempunyai pengetahuan dan tahap pengurusan kewangan yang lemah di mana  lebih 60% golongan ini mengalami masalah hutang.  Selain itu, merujuk daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, secara purata seramai 68 orang diisytiharkan muflis setiap hari dan golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan peratusan yang tertinggi. 

Masalah-masalah ini timbul adalah disebabkan mereka gagal menguruskan kewangan dengan baik. Di tambah lagi, sikap berbelanja secara berlebihan tanpa memikirkan sama ada barangan yang hendak dibeli itu adalah keperluan atau kehendak. Ketidakstabilan kewangan disebabkan pengurusan kewangan yang lemah dan sikap boros ini secara tidak langsung menyebabkan mereka ini terdorong untuk meminjam wang.

Desakan kewangan akan berlaku apabila individu itu ingin berkahwin, membeli aset tetap seperti rumah, membayar sewa beli kenderaan dan pelbagai lagi yang mendorong mereka ini meminjam wang daripada institusi-institusi kewangan. Lebih memburukkan lagi keadaan jika seseorang itu menggunakan jalan yang bahaya dengan meminjam daripada “Ah Long”. Bak kata pepatah “biar papa asalkan bergaya” sebagai satu corak kehidupan yang diamalkan oleh mereka pada masa ini.

Tidak dapat dinafikan terdapat golongan belia sanggup berhutang kerana mahu gaya hidup mewah termasuk bertujuan untuk dipuji dan dipandang tinggi oleh orang di sekeliling.

Masalah kewangan juga akan berlaku sekiranya tidak mempunyai simpanan. Hal ini berlaku disebabkan individu ini tidak mengamalkan sikap menabung sejak dari awal. Sebagai manusia, kita tidak akan tahu jenis kecemasan yang bakal terjadi pada masa akan datang, maka wang simpanan perlu ada bagi menghadapi waktu kecemasan kelak dan mengelak daripada mengalami krisis kewangan di masa akan datang. 

Kesimpulannya, golongan belia merupakan antara golongan yang menyumbang dalam perbelanjaan yang besar dalam aktiviti ekonomi negara. Oleh itu, amatlah penting bagi golongan belia ini mengamalkan pengurusan kewangan secara berhemat bukan sahaja dapat memupuk amalan berjimat cermat dan tidak membazir serta dapat mengukur kewangan diri.

Pengurusan kewangan memerlukan kemahiran bersama semua pihak termasuk individu, keluarga, pihak kerajaan dan badan agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membantu masyarakat khususnya golongan belia dalam memberi kesedaran terhadap kepentingan pengurusan kewangan.

Shahfeeq Ambia Bin Mohd Suhaimi

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)