Print
Category: FOMCA di pentas media 2014 - 2015

PENURUNAN HARGA MINYAK DAN KESAN KE ATAS HARGA MAKANAN DAN BARANG KEPERLUAN PENGGUNA


Harga minyak dunia telah mengalami penurunan yang ketara. Harga setong pada bulan Jun 2014 sebanyak AS$115 telah turun kepada paras di bawah AS$60 setong pada Disember 2014.

Di Malaysia, sebagai usaha untuk mengurangkan subsidi ke arah ekonomi yang lebih mampan, kerajaan telah memansuhkan subsidi petrol dengan penetapan harganya berdasarkan sistem apungan terkawal.

Bagi mencerminkan keadaan harga minyak semasa, pada Januari 2015, harga RON95 telah diturunkan daripada RM2.26 kepada RM1.91, iaitu penurunan sebanyak 35 sen seliter; harga RON 97 dikurangkan daripada RM2.46 seliter kepada RM2.11 seliter, iaitu kurang 35 sen seliter; dan harga diesel pula daripada RM2.23 seliter kepada RM1.93, pengurangan sebanyak 30 sen. Penurunan harga yang agar besar ini sudah tentu memberi kesan kepada industri pengangkutan dan industri lain yang petroleum merupakan komponen kos utama.
Selain kesan langsung kepada industri berasaskan petroleum, dalam ekonomi yang lebih luas, penyusutan harga petroleum juga memberikan kesan berganda yang lebih besar lagi. Umpamanya, di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), harga tenaga meliputi lebih satu per tiga kos bagi pengeluaran bijirin. Begitu juga, harga petroleum mempengaruhi kos pengeluaran bagi barang pengguna lain. Oleh itu, penurunan harga petroleum yang ketara ini sepatutnya menjadikan merendahkan harga banyak barang pengguna, yang menjadikan harganya lebih murah untuk dibeli oleh pengguna, seterusnya mengurangkan perbelanjaan pengguna terhadap barangan tersebut.



Sebelum ini, setiap kali harga petroleum dinaikkan, hampir sebahagian besar harga barangan turut mengalami kenaikan, yang kadangkala lebih tinggi daripada kadar kenaikan harga minyak. Sebagai contoh, apabila harga petroleum naik 20 sen seliter, kebanyakan kedai makan menaikkan harga minuman sebanyak 20 sen segelas. Alasan kenaikan ini ialah harga petrol memberikan kesan kepada kos mereka. Oleh itu, harga baru ini untuk menampung kenaikan kos tersebut.

Oleh itu, apabila harga petroleum diturunkan, pengguna menjangkakan penurunan harga barangan.

Namun, adakah harga makanan dan barang keperluan lain diturunkan seiring dengan harga baru petrol?

Apa menjadi kebimbangan FOMCA, walaupun harga petroleum turun, tetapi peniaga dan kedai makan masih mengekalkan harga jualan mereka. Justeru, mereka dapat mengaut keuntungan yang lebih tinggi kerana kos operasi semakin rendah.

FOMCA mendesak kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan untuk memastikan pengguna mendapat manfaat harga barang yang lebih rendah akibat daripada penurunan harga petroleum.

Peniaga tidak beretika menaikkan harga barang apabila harga petroleum meningkat untuk mengaut keuntungan yang berlebihan. Namun apabila harga petroleum dikurangkan, mereka turut membuat keuntungan yang tinggi daripada kos operasi yang rendah. Penguatkuasaan Akta ini penting supaya pengguna mendapat harga yang rendah dan bukannya peniaga mendapat manfaat daripada kenaikan untung.

Selain itu, disebabkan ramai peniaga yang masih mengekalkan harga mereka, sedangkan sepatutnya mereka menurunkan harga barang ekoran daripada harga baru petroleum, maka Suruhanjaya Persaingan perlu membuat siasatan sama ada terdapat sebarang pakatan perniagaan untuk mengekalkan harga sebagaimana sebelum penurunan harga petroleum atau  amalan-amalan lain yang bersifat anti persaingan yang boleh memanipulasi harga.

Pengurangan harga petroleum sepatutnya memberi kebaikan kepada pengguna. Kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang dan mekanisme lain bagi memastikan pengguna benar-benar mendapatkan manfaat daripada penurunan harga petroleum