Print
Category: FOMCA di pentas media 2010

 

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Beberapa isu kepenggunaan mencetus kegawatan pada tahun 2010, daripada kekurangan bekalan gula di awal tahun kepada kenaikan harga bahan pemanis itu serta bahan api termasuk petrol dan diesel.

Lazimnya juga setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan api dan gula, pasti juga kedengaran rungutan kenaikan harga barang yang menjadikan kos sara hidup, terutama di bandar, semakin membebankan.

Di samping itu, ada juga pengguna yang tersungkur akibat tipu-helah diperdaya oleh sindiket penipuan atau scam yang melibatkan pelaburan.

Memang pahit untuk ditelan tetapi semuanya ini menuntut pengguna negara ini supaya lebih bijak dan berhemat dalam mengatur perbelanjaan dan tidak membiarkan diri terbelit dengan hutang.

Semestinya kita tidak mahu menambah statistik individu muflis yang dilaporkan setakat Oktober 2010 seramai 87,583 orang.
Daripada jumlah itu, 4,651 atau 5.1 peratus diisytiharkan bankrap kerana terbabit dalam hutang kad kredit termasuk generasi muda ekoran kadar faedah yang tinggi iaitu antara 12 hingga 18 peratus.

Dalam masa yang sama pengguna juga perlu lebih berwaspada supaya tidak termakan pujuk rayu pihak tertentu yang licik mempromosi pelbagai bentuk penipuan menerusi program penerangan pelaburan yang didakwa menguntungkan.

STRUKTUR SUBSIDI

Kenaikan harga bahan api dan gula yang dibuat kerajaan pada 2010 adalah selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet 2010 pada 23 Okt 2009 mengumumkan cadangan menstruktur semula subsidi petroleum dan mensasarkan pelaksanaannya pada 1 Mei 2010.

Mengikut penstrukturan itu, kadar harga minyak adalah mengikut kapasiti enjin, manakala warga asing perlu membayar mengikut kadar pasaran semasa.

"Para pengguna ketika itu tertanya bagaimana mekanisme ini akan dilaksanakan. Antara kebimbangannya ialah apakah mereka termasuk dalam kategori yang tidak mendapat subsidi minyak.

"Namun kemudiannya pada Mac 2010, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan cadangan itu dibatalkan. Sebuah makmal rasionalisasi subsidi diwujudkan bagi mengkaji pemberian subsidi kerajaan termasuk untuk petrol.

"Pada 27 Mei 2010 Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) membentangkan cadangan makmal tentang penarikan subsidi secara berperingkat sehingga 2015.

"Ini memberikan sedikit kelegaan kepada pengguna, namun masih ramai yang sangsi kesan yang bakal mereka hadapi terutama peningkatan kos hidup apabila harga barang itu dinaikkan terutamanya bahan api," demikian menurut Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

ANTARA SUBSIDI DAN PERUNTUKAN

Kerajaan ternyata serius melaksanakan rasionalisasi subsidi dengan mengumumkan pengurangan subsidi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula (gelombang kedua) pada 4 Dis lalu.

Kadar kenaikan lima sen bagi setiap satu liter RON95 menjadikan harga pam petrol itu kini RM1.90 seliter.

Sebelum ini harga pam petrol RON95 dinaikkan sebanyak lima sen seliter pada 16 Julai 2010 daripada RM1.80 kepada RM1.85.

Subsidi untuk diesel turut dikurangkan dan harga pam bahan api itu selepas kenaikan lima sen pada 4 Dis ialah RM1.80. Harga LPG turut dinaikkan sebanyak lima sen sekilogram dan harganya kini RM1.90 sekilogram.

Mohd Yusof memberitahu Bernama, jika diambil kira kenaikan terbaharu harga bahan api, gula dan LPG, kerajaan sememangnya sedang melaksanakan cadangan yang dibuat Makmal Rasionalisasi Subsidi.

Tambahnya, tujuan pelaksanaan ialah untuk mengurangkan tanggungan subsidi kerajaan yang dikatakan hampir mencecah RM74 bilion.

"Biar pun begitu, jika dilihat daripada kategori subsidi yang dikeluarkan kerajaan iaitu bagi kategori tenaga dan bahan api adalah RM23.5 bilion bilion.

"Ini termasuk subsidi yang diberikan kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) manakala subsidi untuk makanan ialah RM3.4 bilion. Selebihnya RM42.4 bilion untuk sosial dan RM4.8 bilion untuk infrastruktur.

"Jumlah subsidi yang dinyatakan Datuk Seri Idris Jala dipertikai oleh beberapa pihak kerana terdapat kekeliruan antara subsidi dengan peruntukan pembangunan.

"Peruntukan untuk sosial dan infrastruktur ialah untuk kesejahteraan rakyat bagi mendapatkan pembangunan. Ia bukan seperti subsidi untuk bahan api dan makanan kerana subsidi yang diberikan untuk menjadikan harga bahan api dan makanan lebih rendah daripada harga pasaran," tegasnya.

TIDAK BERKESAN

Kekurangan bekalan gula yang lazimnya berlaku di awal tahun 2010 sekali lagi mencetus krisis. Ia menjadi lebih gawat dengan sikap rakus segelintir pihak yang mengambil kesempatan menyorok dan menyeludup bahan pemanis itu ke negara jiran.

Harga gula di negara-negara jiran dilaporkan lebih tinggi berbanding harga tempatan iaitu RM3.50 sekilogram di Indonesia, RM3.80 sekilogram di Singapura dan RM2.80 sekilogram di Thailand.

Bagaimanapun Mohd Yusof berpendapat kenaikan 20 sen sekilogram bagi harga bahan pemanis itu yang kini dijual pada harga RM2.10 sekilogram (kenaikan 25 sen dibuat pada 16 Julai 2010 dan 20 sen pada Januari 2010) tidak akan memberi kesan kepada pengguna jika mereka mengamalkan pemakanan sihat.

"Pada masa ini rakyat Malaysia mengambil gula melebihi daripada jumlah yang sepatutnya. Jika mereka menggunakan gula pada kadar yang sepatutnya, kenaikan harga tidak akan memberi kesan kepada perbelanjaan mereka," tambahnya.

KESAN KENAIKAN

Kenaikan harga bahan api dan gula sering dikaitkan sebagai pencetus kenaikan sama ada peningkatan perbelanjaan dan kesan lingkaran kepada harga barang lain yang menggunakan kedua-dua bahan itu.

Beliau memberikan contoh seperti kesan kepada harga makanan dan minuman di restoran serta produk makanan dan minuman yang diproses kilang.

"Apa yang diharapkan kerajaan akan mengambil langkah mengurangkan kesan itu.

Pengalaman sebelum ini cenderung menunjukkan kenaikan harga kedua-dua bahan itu menyebabkan harga barang lain yang kadar kenaikannya hampir sama."

Bagaimanapun, Mohd Yusof memberitahu kerajaan boleh mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual barang dengan harga yang keterlaluan pada tahun 2011 apabila Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan dikuatkuasakan.

PROSPEK 2011

Tahun baru 2011 dijangka melihat prospek yang lebih baik untuk kepentingan pengguna dalam jangkaan pelaksanaan beberapa akta baru dan pindaan akta berkaitan pengguna.

Mohd Yusof menarik perhatian kepada Akta Persaingan bertujuan memastikan wujudnya persaingan sihat dalam perniagaan.

Langkah berkenaan pastinya akan memberi manfaat kepada pengguna kerana sektor perniagaan akan bersaing untuk menarik pengguna dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Mengulas mengenai Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, beliau berkata ia membolehkan kerajaan mengambil tindakan ke atas peniaga yang meletakkan harga barang sesuka hati.

"Majlis Penasihat Harga Barang akan menetapkan kadar margin bersesuaian bagi sesuatu sektor perniagaan. Jika didapati ada sektor perniagaan yang menjual pada harga yang keterlaluan, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan ke atas mereka," katanya.

Mengenai penubuhan Jawatakuasa Pengiklanan di bawah Akta Perlindungan Pengguna, Mohd Yusof berkata ia bertujuan memantau iklan yang disiarkan melalui media massa.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan jika terdapat iklan barang yang mengelirukan atau melanggar peraturan yang ditetapkan.

Turut akan dibuat pindaan, tambahnya ialah Akta Perihal Dagangan yang menjelaskan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam soal persijilan halal.

Menurut Mohd Yusof, kerajaan juga dijangka mengumumkan Dasar Pengguna Negara yang telah dikemaskini.

"Fomca berharap Dasar Pengguna Negara akan menjadi pelan perancangan kerajaan berkaitan kepenggunaan di negara ini. Ia perlu disepadukan dengan dasar-dasar kerajaan yang lain," tambahnya.

ISU HALAL

Isu halal atau logo halal sememangnya sering mendapat perhatian khususnya di kalangan pengguna beragama Islam.

Menurut Mohd Yusof, pindaan Akta Perihal Dagangan pastinya akan memperkukuhkan kedudukan Jakim dan JAIN sebagai pihak berkuasa pensijilan halal di negara ini.

Jelasnya, pada masa ini umat Islam rata-ratanya keliru dengan pelbagai logo halal pada produk termasuk logo halal Jakim dan JAIN, syarikat swasta serta label halal yang dibuat sendiri oleh pihak pengeluar.

"Fomca berharap pindaan ini nanti dapat mengurangkan kekeliruan kepada umat Islam.

"Dalam masa yang sama juga Fomca berharap semua syarikat yang mengeluarkan produk untuk dipasarkan kepada umat Islam di Malaysia perlu memohon pensijilan halal terlebih dahulu sebelum produk mereka boleh dipasarkan.

"Begitu juga dengan restoran dan hotel. Umat Islam perlu terus mewujudkan tekanan kepada pengeluar, restoran dan hotel dengan tidak membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan yang tidak mendapat pensijilan halal," tegas Mohd Yusof.

KEADAAN SELESA

Walau apa pun cabaran yang bakal mendatangi kehidupan masyarakat pengguna negara ini, Mohd Yusof optimis pihak kerajaan akan memastikan mereka berada dalam keadaan selesa di tengah-tengah desas-desus Pilihan Raya Umum ke-13 bakal diadakan pada 2011.

Beliau merujuk kepada penangguhan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sebelum ini dilapor akan dilaksanakan pada pertengahan 2011.

"Mungkin juga pelarasan seterusnya subsidi bagi bahan api dan bahan makanan juga akan ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya," kata Mohd Yusof.
Fomca, katanya juga berharap kerajaan mempunyai perancangan dan strategi bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak terpinggir dalam usaha kerajaan mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi serta penarikan balik subsidi.

"Peruntukan pembangunan bagi sektor kesihatan dan pendidikan perlu dipertingkat agar rakyat tidak terbeban dengan kos kesihatan dan pendidikan yang tinggi sebagaimana yang berlaku pada masa ini.

"Jika kerajaan memberikan perhatian kepada kedua-dua sektor ini, maka taraf pendidikan rakyat dapat dipertingkat supaya mereka menjadi tenaga mahir dan profesional. Ini membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang tinggi.

"Sektor penjagaan kesihatan yang baik menjamin rakyat berada pada tahap kesihatan yang sejahtera agar produktiviti kerja mereka tidak terganggu dan menjana hasil kerja yang baik," kata Mohd Yusof.

-- BERNAMA
Oleh Melati Mohd Ariff