Print
Category: FOMCA di pentas media 2010

 

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini melancarkan sebuah album mengandungi sepuluh lagu dalam usaha mendidik masyarakat mengenai kepenggunaan.

Presidennya, Datuk N Marimuthu berkata album bertajuk "Hak dan Peranan Pengguna - Ke Arah Penggunaan Berhemat" itu dihasilkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau berkata ia sebahagian bahan kempen konsumer kebangsaan sejak 2008 hingga 2012, dan merupakan satu sejarah kepada pertubuhan itu kerana bakal disenarai sebagai album lagu pendidikan kepenggunaan pertama di negara ini dalam Malaysian Book of Records.

"Lirik yang terdapat dalam setiap lagu mengandungi mesej kepenggunaan yang mudah untuk difahami oleh semua peringkat masyarakat dan boleh dijadikan bahan pendidikan kepenggunaan di sekolah dan institusi pengajian tinggi," katanya pada majlis pelancaran album itu oleh Senator Tan Sri Dr Jins Shamsuddin di sini.
Marimuthu juga berkata sempena Hari Pengguna Malaysia 2011, Fomca akan menganjurkan peraduan baru iaitu "Speak Up" yang mengkehendaki peserta merancang satu projek berdasarkan konsep pembangunan mampan di sekolah atau komuniti mereka.

"Kertas cadangan yang terpilih akan diberikan dana sebanyak RM1,000 untuk melaksanakan projek tersebut," katanya.

Beliau berkata Fomca turut menganjurkan pertandingan melukis poster, buku skrap, fotografi, menulis esei, kartun, blog, peraduan mewarna serta anugerah penyertaan terbanyak peringkat sekolah.

Marimuthu berkata wang tunai sebanyak RM180,000 diperuntukkan sebagai hadiah bagi keseluruhan pertandingan itu.

Fomca akan mengadakan promosi di 100 buah sekolah rendah dan menengah bagi menarik penyertaan di kalangan pelajar dan kanak-kanak.

Peraduan mewarna untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah rendah pula akan diadakan di 30 Pasaraya Besar Giant serta pusat komuniti di seluruh negara.

Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.mypengguna.com dan tarikh tutup penyertaan ialah 30 Julai ini.

-- BERNAMA