Print
Category: FOMCA di pentas media 2009

PETALING JAYA 19 Nov. — Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini meminta kerajaan mempercepatkan kajian menggubal semula Akta Perlindungan Pengguna yang telah berusia 10 tahun seiring dengan kemajuan ekonomi negara yang semakin berkembang.

Presidennya Datuk N. Marimuthu berkata sejak akta itu diperkenalkan pada 1999, landskap ekonomi negara telah berubah dan berkembang disebabkan penswastaan, globalisasi, liberalisasi perdagangan, perdagangan siber dan kegawatan ekonomi dunia.

"Kesemua perubahan ini telah menyebabkan pengguna kerugian dan mereka sering dieksploitasi oleh perniagaan-perniagaan yang tidak bermoral yang tanpa memilih untuk menipu pengguna,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya sebagai contoh pengguna-pengguna kini diserang oleh iklan-iklan yang mengelirukan untuk mempengaruhi mereka membeli barangan yang mereka tidak perlukan atau membeli barang secara berlebihan semata-mata untuk memenangi wang tunai atau mata terkumpul untuk menyertai cabutan bertuah.

Beliau berkata Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan (NCCC) yang dikendalikan oleh Fomca menerima 1,129 aduan mengenai iklan-iklan yang mengelirukan pada 2008 berbanding 917 aduan tahun sebelumnya.

Menurutnya trend ini membimbangkan dan kerajaan perlu mengawal iklan-iklan sedemikian dengan peraturan-peraturan yang lebih ketat.

Marimuthu berkata selain Akta Perlindungan Pengguna, Fomca telah menghantar satu memorandum kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkenaan isu-isu berkaitan pengguna yang lain antaranya Akta Amalan Perdagangan yang Adil, produk-produk substandard dan jualan murah. - Bernama