Print
Category: FOMCA di pentas media 2009

Piarapakaran Subramaniam | Dis 21, 09 1:39pm
 
Sebagai pengguna, kita sememangnya menerima hakikat kenaikan kos bahan api fosil berterusan disebabkan kewujudannya yang terhad.

Tambahan pula, kecekapan industri tenaga dari segi penstrukturan, ekonomi dan operasi memainkan peranan yang sangat penting.

Dalam keadaan yang tidak jelas bagi proses penetapan tarif elektrik di Malaysia, pelbagai pihak akan mewujudkan suasana yang kelam-kabut dan mengelirukan.

Perkara paling asas yang perlu dilakukan adalah penggabungan sektor-sektor yang berkaitan tenaga sebagai satu agensi.

Ia dengan jelasnya akan memastikan agensi ini mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan ia merupakan perkara penting untuk memastikan jaminan tenaga (energy security) di Malaysia.

Sabah dan Sarawak mesti termasuk dalam proses ini.

Keduanya, Ketua Audit Negara mesti mengaudit Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan penjana bebas (IPP). Proses audit ini mesti dilakukan untuk setiap kajian semula tarif dan keputusan audit perlu dimaklumkan kepada semua.

Langkah ini akan memastikan industri adalah cekap dan pengguna memainkan peranan dalam proses kajian semula tarif.

Ketiga, undang-undang perlu diperketatkan dan digabungkan untuk melindungi kepentingan pengguna dan industri.

Apabila kita melihat contoh di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), ia mempunyai proses kajian tarif yang jelas, tetapi sektor tenaga tidak mempunyai proses sebegini.

Proses juga akan memastikan perbelanjaan modal (capital expenditure atau capex) dan perbelanjaan operasi (operational expenditure atau opex) yang lebih telus.

Penguatkuasaan dari segi teknikal dan ekonomi adalah penting untuk memastikan kesinambungan industri tenaga yang menjadi tulang belakang negara.

Keempat, margin simpanan (reserve margin) sepatutnya dipastikan berada di antara 25 hingga 35 peratus - ini juga akan menyebabkan penutupan loji-loji yang tidak efisyen dan keperluan untuk pelaburan semula untuk meningkatkan kecekapan.

Margin simpanan sekarang melebihi 50 peratus dan keadaan ini akan menyebabkan pembaziran. Pembaziran ini seterusnya disalurkan kepada pengguna sebagai tarif. Di samping kita "menggunakan" model penyelesaian negara luar, kita perlu memastikan ia dapat berfungsi di Malaysia.

Sebagai langkah terakhir, kumpulan pertama perjanjian pembelian tenaga (power purchase agreement atau PPA) akan tamat tidak lama lagi. Ia merupakan peluang kepada kerajaan untuk memperbaiki kesilapan terdahulu.

Industri tidak akan melakukan perniagaan tanpa keuntungan, kebolehan mereka untuk mendapatkan keuntungan tidak sepatutnya menjadi kerisauan agensi-agensi kerajaan.

Kerisauan mereka sepatutnya dalam memastikan tarif yang berpatutan dan melindungi kepentingan pengguna.

Malaysia juga akan menjadi pengimport sepenuhnya bahan api dengan kadar penggunaan sekarang.

Agensi-agensi kerajaan sepatutnya berganding bahu untuk menggabungkan sektor tenaga untuk melindungi pertumbuhan negara dan rakyat.

Piarapakaran Subramaniam setiausaha agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)