Print
Category: CONSUMER DIGEST

mymetroIsnin, 20 Julai 2020 @ 12:01 AM

Jaminan Kualiti Air Setaraf Negara Maju Pada Tahun 2028

MASIH ramai dalam kalangan kita yang merasakan air paip tidak selamat untuk digunakan. Tetapi tahukah anda bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan garis panduan Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan yang perlu dipatuhi oleh syarikat perkhidmatan bekalan air dalam menghasilkan kualiti air minum yang kelihatan jernih, tidak mempunyai sebarang rasa, warna dan bau.

Cabaran dan persepsi terhadap kualiti air

Cabaran terbesar yang dihadapi oleh syarikat pembekal air di negara ini adalah untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa bekalan air paip mereka adalah selamat untuk diminum terus daripada paip tanpa menggunakan penapis air. Ini adalah benar berdasarkan kaji selidik Behaviourial Study on Domestic Water Usage Patterns In Selangor dijalankan oleh Frost & Sullivan pada tahun 2019 ke atas 2,128 responden. Meskipun kualiti bekalan air yang dibekalkan oleh Air Selangor adalah pada tahap terbaik, namun kajian mendapati hanya 73 peratus sahaja secara umumnya berpuas hati dengan kualiti air dibekalkan. Selebihnya, 23 peratus neutral dan 4 peratus pula tidak berpuas hati. 

Malaysia tidak bersendirian menghadapi cabaran persepsi ini. Di Singapura misalnya, mereka mengalami peningkatan siginifikan perbelanjaan air minum yang dibotolkan sebanyak RM411 juta pada 2015 iaitu peningkatan sebanyak 24% berbanding lima tahun sebelumnya. Sementara itu, dalam tinjauan lain, 20% daripada isi rumah di Singapura masih menjerang air minum walaupun jaminan keselamatan sudah diberikan oleh syarikat pembekal air.

Jaminan kualiti air yang selamat

Air Selangor adalah syarikat perkhidmatan bekalan air terbesar di negara ini dan Asia Tenggara yang mempunyai lebih dua juta akaun pelanggan merangkumi 8.4 juta populasi di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Bekalan air dibekalkan oleh Air Selangor dari 2016 hingga 2019 adalah pada tahap terbaik. Ini berdasarkan pematuhan Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan secara purata melebihi 99.5 peratus daripada jumlah keseluruhan ujian piawaian kualiti air yang dijalankan berdasarkan Program Kawalan Mutu Air Minum (KMAM) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pematuhan kualiti melibatkan kesemua ujian parameter utama seperti kekeruhan, baki klorin bebas (FRC), E.coli dan aluminium dalam bekalan air terawat oleh Air Selangor.

Pencapaian pematuhan KMAM hasil daripada inisiatif tambahan dengan meningkatkan saiz purata persampelan ujian bakteriologikal di dalam air terawat sebanyak 2,000 sampel sebulan bagi 8.5 juta populasi berbanding Bilangan Sampel Minima sebulan yang ditetapkan oleh piawaian iaitu 500 sampel sebulan bagi 10 juta populasi pada 2019. Inisiatif ini dilaksanakan secara dalaman oleh Air Selangor dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jaminan kualiti air melalui inisiatif 'Trust Our Tap 2028'

Air Selangor juga menyusun strategi jangka masa panjang melalui tindakan holistik 'Trust Our Tap 2028' bagi tempoh sembilan tahun pelaksanaan bermula dari tahun 2020 yang merangkumi perlindungan sumber air mentah, kawalan kualiti dan pengawasan air terawat, pemeliharaan kualiti air terawat dan pacuan digital Air Selangor.

Tanggungjawab kita bersama

Meskipun pelbagai inisiatif dan rangka tindakan dilaksanakan, tanggungjawab Air Selangor adalah terhad sehingga ke meter air di rumah pengguna sahaja berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2005 (Akta 655). Justeru itu, pengguna disarankan memainkan peranan bersama supaya kualiti bekalan air yang diterima kekal baik dengan menyenggara sistem bekalan air dalaman selepas penyambungan meter air di premis masing-masing.

Penyelenggaraan ini termasuk memastikan saluran pili air di dapur sentiasa bersih, tangki simpanan air dicuci secara berkala, paip dalaman yang berusia perlu diganti dan sebarang kebocoran pada sistem dalaman dibaiki segera untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang kontaminasi yang boleh menyebabkan kemerosotan kualiti air.

Air Selangor yakin inisiatif 'Trust Our Tap 2028' yang dilaksanakan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh mencapai sasaran kualiti air dan perkhidmatan pada tahap terbaik apabila semua pengguna bekerjasama dan melaksanakan peranan masing-masing untuk kesejahteraan bersama.

Tips untuk pengguna daripada Air Selangor

Sekiranya kediaman ditinggalkan untuk tempoh lama seperti pergi bercuti atau rumah dijadikan inap desa atau baru pulih daripada gangguan bekalan air, pengguna domestik dinasihatkan membiarkan pili air di dapur dibuka mengalir sehingga bekalan air kelihatan bersih dan jernih. Ini bagi membolehkan sisa air lama yang berada di dalam paip dialir keluar.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/601733/yakini-air-kita