Print
Category: CONSUMER DIGEST

14 Julai 2020
PUTRAJAYA - Jabatan Kerja Raya (JKR) didapati tidak menjalankan pemeriksaan penyelenggaraan rutin terhadap cerun sejak tahun 2013.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid pada sidang akhbar berkenaan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi Tahun 2018 Siri 3 hari ini.

Menurutnya, peruntukan belanja bagi menguruskan kerja pembaikan cerun berjumlah RM205.56 juta.

"Bagi kerja pencegahan cerun, peruntukan disalurkan di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta II berjumlah RM40 juta bermula tahun 2018," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, perbelanjaan kerja pencegahan cerun adalah sekitar 32 peratus berbanding peruntukan yang diterima.

"Kerja pembaikan dan pencegahan cerun amat penting dilakukan untuk mengurangkan kadar kerosakan harta awam, kerugian ekonomi, menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan risiko kehilangan nyawa.

"Secara keseluruhan, pengurusan cerun di Jalan Persekutuan di Semenanjung tidak dilaksana dengan cekap dan berkesan," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pembaikan dijalankan terhadap 497 daripada 988 cerun yang telah runtuh dan dimohon peruntukan.

"Bagi kerja pencegahan, hanya 56 cerun dilakukan berbanding 946 cerun disasarkan," katanya.

Nik Azman berkata, pemasangan peralatan Sistem Amaran Awal (SAA) juga tidak mencapai objektif ditetapkan.

"LKAN mendapati tiada amaran dikeluarkan SA sejak ia dipasang dan 40 peralatan itu tidak didaftarkan sebagai Aset Tak Alih Kerajaan selaras dengan Tatacara Pengurusan Aset Tak Alih," katanya.

Selain itu katanya, terdapat 15 daripada 36 stesen tolok hujan yang dipasang didapati tidak merekodkan bacaan bagi tempoh sebulan sehingga 14 bulan.

"Amaran awal tolok hujan juga tidak dikeluarkan," katanya.
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/92147/BERITA/Nasional/Penyelenggaraan-cerun-tidak-dijalankan-sejak-2013
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf