Print
Category: CONSUMER DIGEST

bh berita harian vector logoSelasa, 7 Julai 2020 | 4:35pm

KAJANG: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menggesa supaya diwujudkan satu peraturan yang melarang penjualan aksesori kenderaan yang berupaya mendatangkan risiko maut apabila berlaku kemalangan.

Ketua Pengarahnya, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, berkata sehingga kini penjualan aksesori kereta tertentu termasuk penyambung tali keledar adalah dibenarkan berikutan tiada undang-undang yang mengawal penjualannya di pasaran.

"Peralatan ini tidak pernah 'tidak sah' dan ia boleh dijual di pasaran walaupun di kedai serbaneka, sedangkan jelas ia amat berbahaya jika digunakan pemandu kenderaan.
"Justeru, saya berasakan perlu diwujudkan satu undang-undang yang boleh mengawal atau menyekat penjualan aksesori kenderaan yang berbahaya kepada pengguna," katanya kepada BH, di sini.

Khairil berkata, pihaknya juga bercadang mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membabitkan aspek penguatkuasaan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan penguatkuasaan mungkin boleh dilaksanakan terlebih dahulu bagi memastikan aksesori ini tidak dijual sewenang-wenangnya di pasaran.

"Dari segi undang-undang ia memang perlu namun mungkin mengambil sedikit masa. Namun, untuk masa terdekat ini, mungkin kita akan melakukan pertemuan dengan KPDNHEP bagi membincangkan isu ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan BH di beberapa portal beli-belah dalam talian mendapati, aksesori penyambung tali keledar itu dijual pada antara RM3.80 hingga RM25 tertakluk kepada jenis dan model.

Penjualan penyambung tali keledar ini bukan sahaja dikendalikan oleh penjual tempatan, malah ada juga stok diperoleh dari luar negara dengan ada jualan mencecah hampir 300 unit.

Ada juga penyambung tali keledar yang diperbuat daripada aloi zink ini dijual berdasarkan logo model dan jenama kenderaan popular bagi memberi lebih pilihan kepada pembeli.

Lebih memeranjatkan, berdasarkan keterangan penjual, penyambung tali pinggang keledar ini didakwa adalah sebagai satu aspek keselamatan kenderaan dan menjamin kawalan keselamatan terbaik buat pengguna.

Antara ciri lain yang dipaparkan ialah, ia mudah dipasang, mampu 'mematikan' bunyi peringatan memasang tali keledar dan bersifat universal yang bersesuaian dengan 99 peratus model kenderaan di pasaran.

'Dummy buckle' produk ciplak, disalah guna

Aksesori dummy buckle atau alat nyah aktif penggera tali keledar yang dijual di pasaran secara berleluasa ketika ini adalah produk 'ciplak'.

Alat berkenaan yang kini dijual serendah RM2 di kedai serbaneka atau portal beli-belah dalam talian itu sebenarnya direka dan dipasarkan untuk kegunaan individu berbadan saiz besar.

Bagaimanapun, ia kini disalah guna untuk tujuan 'mematikan' penggera tali keledar kenderaan, sekali gus berupaya mengundang risiko ketika kemalangan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, ketika mendedahkan perkara itu berkata perbincangan mengenai isu berkenaan giat dijalankan, susulan pelbagai kes kemalangan yang semakin meruncing kebelakangan ini.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan kementerian kini pada fasa melengkapkan kajian bersama pihak berkaitan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Kena teliti undang-undang, jadi kita ada buat kajian rentetan daripada kemalangan yang berlaku akhir-akhir ini, selain mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan.

"Sebenarnya alat ini adalah untuk kegunaan orang berbadan bersaiz besar, bukan untuk 'mendiamkan' penggera tali keledar kenderaan.

"Oleh itu, memandangkan tiada larangan dalam bentuk sekatan penjualan yang boleh dikenakan terhadap peniaga aksesori ciplak sedemikian, kita perlu teliti aspek perundangan dalam usaha menangani isu seperti ini," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

BH menerusi laporan muka depan semalam, mendedahkan mengenai pelbagai aksesori kenderaan yang menjadi kegilaan pemandu kini, disebabkan hanya kerana mudah dipasang dan kelihatan cantik, tanpa menyedari ia berisiko mencetuskan kemalangan serta meragut nyawa sendiri.

Permintaan tinggi menyaksikan, aksesori kenderaan sama ada yang mematuhi undang-undang atau sebaliknya, dijual secara meluas dalam pasaran termasuk di kedai serbaneka dan dalam talian.

Antara aksesori dikenal pasti berbahaya oleh MIROS ialah dummy buckle atau alat nyah aktif penggera tali keledar yang mampu mempengaruhi fungsi beg udara sekiranya berlaku impak pelanggaran ketika kemalangan.

Isham mengesahkan bahawa alat nyah aktif penggera tali keledar ciplak itu tidak mampu mengaktifkan beg udara apabila berlaku impak pelanggaran ketika kemalangan.

"Produk ciplak ini tiada peranti pengesan seperti diletakkan dalam seat belt extender (penyambung tali pinggang keledar) untuk kegunaan orang berbadan saiz besar," katanya.

Ditanya pendekatan terbaik untuk menyekat penjualan aksesori membahayakan pengguna itu, Isham berkata kerajaan ketika ini mampu berbuat demikian melalui kempen kesedaran dan nasihat.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/708320/larang-jual-aksesori-kereta-berisiko-maut