Print
Category: CONSUMER DIGEST

bh berita harian vector logoKUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan melaraskan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) memastikan pengguna mendapat manfaat daripada harga elektrik yang telus dan adil, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

"Kami menyokong keputusan untuk meneruskan ICPT, iaitu satu mekanisme yang begitu bermanfaat kepada industri elektrik sejak 2014 dan ia kekal relevan dalam persekitaran harga bahan api yang tidak menentu.

"Sebagai syarikat utiliti, TNB dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan beroperasi dalam persekitaran yang terkawal, termasuk oleh mekanisme ICPT. Seperti yang ditetapkan oleh keputusan ST menerusi ICPT, TNB akan memaparkan perubahan pada kos bahan api dan lain-lain kos penjanaan dalam tarif elektrik pada setiap enam bulan," katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan, menerusi surat daripada ST, memberi kelulusan kepada TNB untuk melaksanakan pelarasan ICPT bagi tempoh 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020. 

Dalam tempoh itu, ICPT akan dikurangkan daripada kadar surcaj 2.00 sen/kWh kepada 0.00 sen/kWh.

Pengurangan surcaj ICPT ini disebabkan oleh pengurangan kos bahan bakar sebenar untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 berbanding dengan tempoh enam bulan sebelumnya dari Julai hingga Disember 2019.

Mengulas berkenaan pengurangan ICPT, Amir Hamzah berkata ia mencerminkan penurunan sebenar harga bahan api global untuk tempoh enam bulan lalu.

Beliau berkata, untuk tempoh Januari hingga Jun 2020, kos bahan api menurun sejajar dengan kejatuhan harga bahan api sebenar di bawah penanda aras harga bahan api yang ditetapkan dalam tarif asas untuk Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) bermula 2018 hingga 2020.

Katanya, purata 'Applicable Coal Price' (ACP) untuk Januari hingga Jun 2020 berada pada AS$69.5 satu tan, berbanding harga penanda aras arang batu yang ditetapkan dalam tarif asas pada AS$75 satu tan, manakala harga gas untuk tempoh sama ialah RM26.6 bagi setiap mmBTU iaitu lebih rendah berbanding harga penanda aras gas yang ditetapkan dalam tarif asas pada RM27.20 bagi setiap mmBTU.

"Perubahan harga bahan api tidak dipaparkan serta-merta dalam tarif kepada pengguna kerana terdapat perbezaan masa kira-kira sembilan bulan antara pergerakan harga bahan api dan tempoh sebenar pergerakan memberi kesan kepada sektor tenaga," katanya.

"Ini bermakna, ketika harga bahan api rendah, pengguna hanya mendapat manfaat daripada pelepasan kos bahan api dengan mendapat tarif yang lebih rendah yang bermula 12 bulan kemudian.

"Sekiranya harga bahan api naik, ia akan hanya memberi kesan kepada pengguna kemudian, lantas memberi peluang untuk sistem untuk melakukan penyesuaian," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/07/706179/pelarasan-icpt-pastikan-pengguna-dapat-harga-elektrik-adil