Print
Category: CONSUMER DIGEST

malaysiakiniDikemaskini: 6:12 PM 15 MAC 23
Dasar perumahan awam Malaysia tidak menyediakan pelan keluar untuk mereka yang tinggal di perumahan sosial, menyebabkan mereka 'terjerat' dalam sistem itu, menurut kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Laporan yang dilancarkan hari ini mendapati penghuni skim perumahan awam projek perumahan rakyat (PPR) tidak dapat mencari perumahan yang lebih baik atau sesuai di pasaran swasta, walaupun keadaan ekonomi mereka bertambah baik.

Perumahan awam secara umumnya meletakkan syarat isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Bagaimanapun, didapati walaupun ada segelintir penduduk yang berpendapatan lebih daripada itu namun mereka tidak mampu untuk keluar dari perumahan awam.

Penyelidik KRI, yang meninjau lima kompleks perumahan PPR di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, mendapati penduduk terperangkap di perumahan awam, jika mereka mahu kekal tinggal di lokaliti yang sama, kerana mereka tidak mampu untuk menyewa rumah milik swasta di kawasan yang sama.

Ini berdasarkan data yang dikumpul bagi hartanah setanding untuk disewa atau dijual di sekitar perumahan awam.

"Adakah mereka ada pilihan? Institusi penilaian negara buat kajian rumah sewa di keliling PPR - harga sangat mahal. Rumah PPR sewa RM124, the moment nak sewa keluar, RM500 ke RM1000 ke atas. susah untuk keluar dari situ melainkan nak pindah jauh dan ganggu hidup. Nak beli pun susah.

"Harga tidak mampu milik. Nak beli, rumah saiz lebih kecil dari 700 kaki persegi, pilihan terhad...
"Kita nak bila keluar dari rumah awam, nak keadaan lebih baik," kata penyelidik Puteri Marjan Megat Muzafar pada pelancaran laporan itu pagi ini.

Taraf keadaan hidup yang wajar

Jelasnya lagi, penghuni perumahan awam juga diberi harga untuk membeli hartanah setanding di pasaran tempatan, termasuk yang lebih kecil daripada unit perumahan awam yang mereka tinggal.

Kajian KRI juga mendapati umur median penghuni perumahan awam ialah 52 hingga 54 tahun, dengan ramai yang menghampiri usia persaraan, menyukarkan untuk mendapatkan pinjaman perumahan.

Keadaan ini menyebabkan penghuni perumahan awam sama ada terperangkap di perumahan awam selama beberapa generasi, atau mereka terpaksa tinggal di hartanah persendirian yang palik teruk keadaannya, apabila mereka "lulus" keluar dari skim itu.

Rakan penyelidik KRI Theebalakshmi Kunasekaran menambah, walaupun 26 peratus responden berpotensi untuk keluar dari perumahan awam, lebih 50 peratus yang ditinjau tidak akan berbuat demikian, atas pelbagai sebab termasuk kos sewa swasta yang tinggi.

Dia berkata sewa tidak boleh melebihi 25 peratus daripada pendapatan bulanan, jadi bagi isi rumah berpendapatan RM4,000, sewa tidak boleh melebihi RM1,000.

"Perumahan sosial hanya penyelesaian pembinaan, iaitu berapa unit perlu dibina untuk mencapai mattlamat, bukan objektf agenda sosial.
"Dasar kini tertumpu bilangan yang dibina dan berapa ramai ditempatkan manakala keperluan dan standard baik adalah tumpuan kedua.

"Sedikit perhatian sahaja diberi kepada positive living condition.," katanya.

Bangunan buruk, rumah sempit

Penyelidik lain untuk kajian berjudul Decent Shelter for Our Urban Poor (Kediaman yang wajar untuk golongan miskin bandar) ialah Suraya Ismail, Rachel Gong, Gregory Ho, Theebalakshmi Kunasekaran, Muhammad Nazhan Kamaruzuki dan Adam Manaf Mohamed Firouz.

Mereka mendapati penduduk yang terus tinggal di perumahan awam, mengalami keadaan menjadi lebih teruk apabila keluarga berkembang, meninggalkan sedikit ruang di kediaman yang boleh sekecil 535 kaki persegi sahaja.

Ini kerana flat PPR lama yang dibina tidak mengikut piawaiaan standard keluasan sekurang-kurangnya 800 kaki persegi untuk pangsapuri tiga bilik.

Terdapat juga pengagihan ruang yang tidak cekap kerana semua unit mempunyai keluasan dan susun atur lantai yang sama, tanpa mengambil kira perbezaan antara isi rumah, tidak seperti di negara seperti Singapura di mana rumah diagihkan mengikut saiz isi rumah.

Perumahan awam yang ditinjau juga didapati kurang sesuai untuk didiami oleh penghuni kerana penyelenggaraan yang lemah.

Unit rumah tersebut dibina dengan harga murah oleh kerajaan persekutuan, menyebabkan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi kerana bahan mengalami kemerosotan, haus dan lusuh. Ini adalah kos yang mungkin tidak dapat ditanggung oleh kerajaan tempatan, yang menjalankan tugas penyelenggaraan tersebut, kata kajian itu.

Penyelenggaraan yang tidak baik termasuk isu sanitasi, kemudahan umum yang berada dalam keadaan rosak dan dalam kes lain, kekurangan kemudahan terutamanya untuk orang kurang upaya dan warga emas.

Ini walaupun satu daripada sepuluh isi rumah mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga yang mempunyai keperluan khas daripada segu perubatan, kata dapatan kajian itu.

Memiliki perumahan awam bukan polisi yang baik

Dasar kerajaan untuk membenarkan pemilikan perumahan awam, bukan hanya untuk sewaan sahaja, juga memburukkan lagi isu perumahan sosial, kata kajian itu.

Ini bukan sahaja mengambil peluang untuk mereka yang memerlukan perumahan awam secara sewa, tetapi ia juga mewujudkan keadaan pemilik unit perumahan sosial memegang hartanah negatif di blok perumahan yang tidak boleh didiami dan tidak diselenggara dengan baik.

Untuk menangani perkara ini, para penyelidik mencadangkan rangka kerja yang mengambil kira keseluruhan kitaran hayat projek perumahan awam daripada perancangan kepada "akhir hayat" bangunan.

Ini bermakna dasar itu bukan sahaja mesti merancang perumahan dan reka bentuk awam dengan betul untuk memenuhi keperluan permintaan, tetapi juga termasuk mekanisme pengauditan untuk melihat sama ada bangunan itu masih sesuai untuk tujuan berkenaan atau tidak.

Sekiranya didapati kos yang lebih tinggi untuk menyelenggara atau membaik pulih bangunan perumahan awam, ia harus dirobohkan, kata penyelidik.

Mereka juga mencadangkan tinjauan perumahan nasional untuk mengisi daftar perumahan supaya memantau stok perumahan awam yang ada serta pangkalan data sewa untuk bekalan perumahan dan sewa dalam sektor swasta.

Selain itu, kajian itu turut mengesyorkan tinjauan penilaian keadaan bangunan untuk memastikan perumahan berkualiti baik disediakan di kedua-dua pasaran awam dan swasta.

Para penyelidik juga mencadangkan kriteria pemilihan yang lebih diperkemas, disokong oleh data sedia ada termasuk daripada pangkalan data e-Kasih, untuk memastikan perumahan awam disediakan untuk mereka yang benar-benar memerlukannya.

Tiada pemetaan perumahan awam di Malaysia

Mengulas cadangan dalam perbincangan panel selepas pelancaran itu, Ketua Setiausaha Jabatan Kerajaan Tempatan Amir Onn Mustapha bersetuju bahawa lebih baik kerajaan untuk bergerak ke arah skim sewaan sahaja di bandar yang kekurangan kawasan tanah.

Bercakap atas kapasiti peribadi, Amir berkata dia bersetuju dengan cadangan penyelidik KRI ini untuk menghentikan pemilikan perumahan awam khususnya di kawasan bandar, supaya kerajaan tidak perlu meneruskan pembinaan perumahan sosial untuk golongan miskin yang berhijrah ke bandar.

"Menjadi tanggung jawab kerajaan untuksediakan rumah kepada rakyat. Kalau lihat balik, subsidi yang diberikan kepada projeck besar. Purata RM200,000. Ada yang kita jual RM40,000 lebih sahaja.

"(Jadi) konsep penyewaan lebih baik," katanya.

Dia berkata kira-kira tiga perempat daripada perumahan sosial dimiliki manakala satu perempat disewakan.

"Kalau boleh dengan kerjasama dan komitmen kerajaan dan kementerian ekonomi, kita mula mengerakkan ke konsep penyewaan yang menjadikan keadaan kita berubah," katanya.

Jelasnya, terdapat keperluan pemetaan sewajarnya perumahan awam sedia ada terhadap mereka yang memerlukan perumahan, supaya benar-benar memahami permintaan untuk perumahan sosial, bagaimana mengurus permintaan ini dengan lebih baik dan mengurus mereka yang diberi perkhidmatan perumahan awam.

"Saya setuju dengan hasil kajian ini. Saya lama dalam bidang pembangunan. Untuk siapkan projek, kita buat mapping.

"Mapping itu perlu ada, iaitu rakyat yang perlu perumahan dan rumah yang nak disediakan, yang macam mana?,” katanya.

Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/658795