Print
Category: CONSUMER DIGEST

Lim Eng Seong. - NSTP/ Muhd Asyraf SawalJulai 12, 2022 @ 5:30pm
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melantik Prudential Malaysia sebagai salah satu pengendali insurans dan takaful untuk menyediakan pelan perlindungan yang berpatutan dan mudah difahami kepada semua ahli KWSP di bawah inisiatif i-Lindung.

Inisiatif itu, yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, bertujuan untuk menyediakan perlindungan yang mampu milik dan boleh diakses oleh rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prudential Assurance Malaysia Bhd, Lim Eng Seong berkata syarikat itu sangat menyokong program i-Lindung KWSP kerana mereka berkongsi tujuan yang sama untuk membantu rakyat Malaysia memperoleh masa depan kewangan yang lebih baik.

"Dengan adanya pelan perlindungan, ahli KWSP boleh melindungi simpanan dan dana persaraan mereka sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku," katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran i-Lindung hari ini.

Menurut statistik Bank Negara Malaysia, hanya 41 peratus rakyat Malaysia pada masa ini mempunyai sekurang-kurangnya satu polisi insurans hayat individu atau kumpulan atau sijil takaful keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Bhd, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata sebagai sebuah organisasi yang mempromosikan "Takaful For All, For Life", syarikat itu telah mempunyai misinya untuk membantu keluarga Malaysia menjamin masa depan mereka melalui penyelesaian inovatif yang dibina berdasarkan nilai-nilai Islam.

"Dengan memperkenalkan pelan inklusif dan mesra bajet ini di bawah i-Lindung, kami mahu menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia dilindungi dari segi kewangan, untuk memastikan mereka dan keluarga mereka hidup dengan tenang," katanya.

Empat pelan yang diperkenalkan oleh Prudential Malaysia ialah PRUGuardLife dan PruBSN Lindung (perlindungan berjangka) dan PRUCare Life dan PruBSN Cegah (perlindungan penyakit kritikal).

Ahli KWSP boleh mendaftar untuk pelan perlindungan serta-merta dengan melengkapkan beberapa soalan ringkas berkaitan kesihatan dan membuat bayaran premium atau caruman terus daripada portal dalam talian KWSP mereka – i-Akaun, dengan hanya bayaran sekali untuk perlindungan sepanjang tahun sehingga RM100,000, kata agensi insurans itu.

Ia berkata PRUCare Life dan PruBSN Cegah adalah pelan penyakit kritikal yang menyediakan bantuan kewangan kepada ahli KWSP selepas diagnosis 43 jenis penyakit kritikal, serta demam denggi.

"Ahli boleh membayar secara sekali gus untuk membiayai rawatan perubatan atau mengurangkan kehilangan pendapatan akibat penyakit, dengan premium/caruman serendah RM8.40 untuk perlindungan setahun," katanya.

Sementara itu, PRUGuard Life dan PruBSN Lindung, sebaliknya, adalah pelan insurans atau takaful berjangka yang melindungi untuk kematian, manfaat hilang upaya menyeluruh dan kekal bagi memastikan keluarga terjaga sekiranya berlaku kehilangan nyawa atau kehilangan pendapatan yang disebabkan oleh kecacatan.

Pelanggan boleh memilih jumlah perlindungan yang paling sesuai dengan keperluan dan belanjawan mereka, daripada serendah RM10.40 untuk satu tahun perlindungan.

"Setelah mendaftar untuk pelan pilihan mereka, pelanggan boleh melihat sijil mereka dengan mudah hanya beberapa klik melalui ciri PRUServices pada aplikasi Pulse by Prudential, yang tersedia untuk semua pelanggan Prudential Malaysia," katanya.

Selain itu, pelanggan Prudential Malaysia juga boleh mengemukakan tuntutan mereka melalui PRUServices dan menjejaki status tuntutan terkini.

Sempena pelancaran i-Lindung, Prudential Malaysia juga telah melancarkan kempen MyRezeki, yang mana ahli KWSP yang telah membeli atau melanggan pelan insurans atau takaful Prudential Malaysia menjelang 30 Sept, 2022, akan berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM100,000.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.prudential.com.my dan www.prubsn.com.my.

– Bernama

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/07/975676/prudential-perkenal-insurans-takaful-untuk-ahli-kwsp