Print
Category: CONSUMER DIGEST

12 Julai 2022
BUKIT GANTANG - Kadar subsidi yang dibayar kerajaan bagi tarif elektrik akan dipaparkan dalam akaun bil pengguna bermula bulan hadapan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu dilaksanakan sebagai penjelasan kepada rakyat yang selama ini tertanya-tanya mengenai pemberian subsidi tarif elektrik.

"Ramai yang bertanyakan mengenai subsidi tarif elektrik ini kerana sebelum ini mereka tak nampak.

"Sebab itu mulai bulan depan kita putuskan agar dalam bil itu nanti akan dicatatkan berapa kerajaan akan subsidi bagi setiap pengguna.

"Contohnya kalau pengguna tu pakai 300 kilowatt jam (kWJ), jumlah keseluruhan subsidi yang dibayar kerajaan akan ditulis di situ," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (zon tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Padang Dewan Serbaguna Sungai Kerang dekat Trong di sini pada Selasa.

Takiyuddin berkata, rakyat perlu tahu bahawa kerajaan ketika ini bukan sahaja terpaksa menanggung kos tambahan bagi penjanaan elektrik, tetapi masih mampu memberikan rebat bagi mengurangkan beban pengguna.

Katanya, kos penjanaan elektrik bagi Januari hingga Jun tahun ini telah mencecah RM7 bilion dan daripada jumlah itu, kerajaan menanggung RM5.8 bilion manakala RM1.2 bilion diagihkan kepada industri-industri besar.

"Kenaikan kos penjanaan elektrik ini dapat diurus secara lebih teratur menerusi Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang membolehkan kos-kos berkenaan dikaji setiap enam bulan.

"Menerusi ICPT ini juga, kos tambahan yang sepatutnya ditanggung oleh sembilan juta pengguna, kerajaan putuskan untuk dikecualikan daripada membayar kos berkenaan.

"Jadi rakyat kena bersyukurlah elektrik ini hanya dibayar ikut keperluan sahaja dan ada subsidi lagi, kos elektrik ini semua sudahpun disubsidi oleh kerajaan," katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung manakala ICPT terus dilaksanakan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022.

Surcaj tarif elektrik bagi pengguna domestik pada masa ini kekal pada 3.7 sen per kWJ dengan rebat dua sen tanpa sebarang surcaj, manakala pengguna bukan domestik daripada sektor komersial dan industri akan dikenakan surcaj 3.7 sen per kWJ.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/210973/BERITA/Nasional/Kadar-subsidi-elektrik-dipapar-dalam-bil-bermula-bulan-depan