Print
Category: CONSUMER DIGEST

12 Julai 2022
KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan platform i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli untuk membolehkan ahli membeli produk insurans dan takaful menggunakan Akaun 2.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, platform yang diperkenalkan KWSP itu dapat membantu ahli mendapatkan perlindungan bagi menghadapi situasi yang tidak diduga dan di luar kawalan.

Menurutnya, harga yang ditawarkan juga amat berpatutan dan tidak akan membebankan ahli menerusi syarikat insurans dan pengendali takaful yang disediakan dalam platform KWSP.

"Ini merupakan satu titik tolak yang penting bagi melindungi rakyat Malaysia serta keluarga masing-masing daripada risiko kematian, kehilangan upaya secara menyeluruh dan penyakit kronik.

"Pelan tersebut dapat menggantikan pendapatan atau menyediakan simpanan tambahan sekiranya ahli menghadapi sebarang musibah. Paling penting, perlindungan ini boleh diperoleh dengan sumbangan premium berjumlah beberapa ringgit sebulan menerusi syarikat insurans dan pengendali takaful dalam platform KWSP," katanya ketika berucap di majlis perasmian i-Lindung, pada Selasa.

Beliau berkata, pengukuhan perlindungan sosial juga merupakan aspek penting ditekankan oleh kerajaan terutama bagi memacu pemulihan dan pembinaan semula ekonomi negara pada pasca pandemik ini.

"Menerusi Program Transformasi GLC yang telah dilaksanakan melalui ekosistem Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), salah satu aspek terpenting adalah pengukuhan perlindungan sosial, dan tanggungjawab ini telah diberikan kepada KWSP.

"Setakat ini, strategi ini telah membuahkan hasil, di mana pendaftaran ahli baharu telah meningkat 57 peratus kepada 146,000 ahli dalam suku tahun pertama 2022, manakala pencarum sukarela terkumpul di bawah program i-Saraan telah melonjak naik 77 peratus kepada 599,000 orang," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, Pelan Perlindungan Ahli ini merupakan satu lagi kejayaan KWSP yang menyediakan saluran perlindungan sosial dan keselamatan kewangan kepada ahlinya sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

“Perlindungan melalui insurans atau takaful merupakan antara komponen utama bagi kesejahteraan kewangan dan KWSP menggalakkan ahli untuk mendapatkannya bagi melindungi mereka daripada ketidaktentuan kewangan.

"Kemudahan i-Lindung amat bermanfaat untuk ahli KWSP mendapatkan perlindungan insurans serta takaful kerana pihak KWSP bersama-sama pihak syarikat insurans dan pengendali takaful ingin memastikan produk yang ditawarkan kepada ahli adalah pada kadar yang sangat mampu milik," katanya.

Ahli yang ingin membeli produk insurans dan menyertai produk takaful yang ditawarkan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful yang diluluskan KWSP boleh melakukannya melalui platform i-Lindung yang terkandung dalam portal i-Akaun (Ahli) KWSP.

Syarikat insurans dan pengendali takaful tersebut adalah FWD Takaful Berhad, Prudential Assurance Malaysia Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Etiqa Life Insurance Berhad dan Etiqa Family Takaful Berhad.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/210936/BERITA/Nasional/KWSP-lancar-i-Lindung-ahli-boleh-beli-insurans-guna-Akaun-2