Print
Category: CONSUMER DIGEST

- Hiasan. FOTO NSTPFebruari 7, 2022 @ 1:01pm
KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi berpandangan penghapusan permit import (AP) adalah antara langkah boleh diambil kerajaan untuk mengawal harga barang.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata dengan penghapusan AP, ia sekali gus dapat merancakkan persaingan dalam pasaran.

Bagaimanapun, kata ia bukan penyelesaian mutlak untuk menangani isu harga barang sebaliknya kerajaan perlu memastikan tidak berlaku sebarang unsur sabotaj ekonomi.

Justeru, beliau menyarankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjalankan siasatan dan Akta Persaingan 2010 dipinda supaya penguatkuasaannya lebih holistik selain inklusif pada masa hadapan.

"Pada ketika ini, pelbagai strategi boleh dilakukan untuk mengawal harga barang. Penghapusan AP adalah salah satu daripada caranya kerana ia akan meningkatkan persaingan dalam pasaran dan menghapuskan atau mengurangkan aktiviti monopoli.

'Namun begitu, isu ini tidak akan selesai jika masalah kekurangan bekalan dalam pasaran tidak dapat diatasi akibat penghapusan AP ini.

"Isunya di sini lebih berbentuk struktural, dan kerajaan pada ketika ini perlu memastikan bekalan yang mencukupi dalam pasaran serta tidak ada unsur-unsur sabotaj ekonomi ataupun ada pihak-pihak tertentu yang cuba untuk mengambil kesempatan dalam kesempitan," katanya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas syor Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) terhadap kerajaan supaya menghapuskan AP terutama bagi barang makanan dalam usaha mengawal kenaikan harga barang.

Presiden FOMCA, Datuk Dr N Marimuthu, berkata penghapusan AP dapat mengelak monopoli kerana hanya peniaga atau pengusaha mempunyai AP boleh membawa masuk sesuatu barangan dan mengawal harganya.

Langkah itu jelasnya akan memberi peluang kepada rama peniaga menjual lebih banyak barangan dan mengelak monopoli, sekali gus membendung isu kenaikan harga.

Mengemuka pelan penyelesaian jangka panjang, Irwan Shah menyarankan kerajaan menumpukan usaha mengatasi isu sekuriti makanan dengan memacu sektor agromakanan dan pertanian moden.

Beliau berkata, isu pokoknya adalah berkenaan dengan usaha untuk meningkatkan produktiviti dalam sektor dan juga industri berkaitan.

"Kerajaan juga perlu menjelaskan dan memperincikan lagi strategi diletakkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan juga Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

"Ia supaya rakyat dan peniaga mendapat maklumat jelas dengan perancangan dan juga hala tuju negara serta dalam bentuk apakah manfaat mereka boleh peroleh," katanya.

Ditanya adakah pemberian subsidi masih relevan untuk mengawal harga barang, beliau bersetuju dengan langkah itu pada ketika ini, namun ia cuma sesuai untuk strategi jangka pendek.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/02/919745/syor-hapus-ap-kawal-harga-barang