Print
Category: CONSUMER DIGEST

Tiada Bil Fizikal Dihantar Ke Rumah, Semak Bil Elektrik Secara ...Rabu, 29 Julai 2020 | 10:01am
SEREMBAN: Pengguna menyambut baik langkah kerajaan menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memberikan diskaun berperingkat dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Pengguna menerima rebat antara dua hingga 50 peratus bagi penggunaan elektrik dari 1 April hingga 31 Disember tahun ini.

Selain itu, kerajaan bersama TNB mengumumkan pemberian Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) sebagai pakej bantuan tambahan kepada semua 7.66 juta pelanggan domestik melalui pembiayaan penggunaan elektrik percuma hingga RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu April, Mei dan Jun 2020.

Rata-rata pengguna menyifatkan, pengurangan yang banyak itu bukan sahaja melegakan, malah bersyukur kerana ia dapat meringankan beban dalam meneruskan kehidupan selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

Adam Husaini Yong Abdullah, 41, dari Taman Bukit Zamrud di sini, berkata pengurangan bil elektrik sehingga RM200 itu banyak membantunya dalam menguruskan keluarga.

Jurujual yang juga bapa kepada tiga anak, berusia antara sembilan bulan hingga lima tahun tu berkata, kebiasaannya penggunaan elektrik di rumahnya antara RM60 hingga RM80 sebulan.

"Bagaimanapun, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu penggunaan elektrik meningkat berganda dengan jumlah mencecah RM600 bagi tempoh tiga bulan.

"Tetapi TNB memberikan diskaun RM200 menerusi bil terbaharu yang saya terima. Ini melegakan kerana wang itu boleh digunakan untuk keperluan lain," katanya ketika ditemui.

Adam Husaini Yong turut berpendapat, pandangan segelintir pihak bahawa TNB sesuka hati mengenakan caj bil elektrik yang tinggi ketika pasca PKP adalah tidak betul dan satu tohmahan.

Beliau turut mengakui, terdapat penggunaan elektrik yang lebih sepanjang tempoh PKP kerana semua ahli keluarga berada di dalam rumah.

"Saya sendiri mengalami keadaan itu apabila bil elektrik meningkat. Mana mungkin TNB boleh mengenakan caj tidak munasabah kepada pengguna," katanya.
Suri rumah, Rashidah Ahmad, 53, dari Taman Chip Aik, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan yang memberikan rebat bagi penggunaan elektrik.

Ibu kepada empat anak itu berkata, selepas tiga bulan tidak menerima bil elektrik, pada awalnya dia terkejut kerana ia mencatatkan jumlah besar hampir RM1,000. Tetapi apabila semak dan teliti semula, tercatat diskaun Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin.

"Apabila dikira keseluruhannya terdapat penjimatan sebanyak RM320. Diskaun ini bererti bagi kami terutama dalam meringankan beban suami menyara keluarga.

"TNB juga tidak menekan pengguna bayar sekali gus, ini dapat meringankan beban kami sekeluarga. Terima kasih TNB dan kerajaan yang prihatin dengan rakyat," katanya.

Bagi dua ibu tunggal yang juga peniaga kecil, Noraini Abdullah, 53, dan Faridah Md Chan, 59, bersyukur atas keprihatinan kerajaan dan TNB yang membantu meringankan beban mereka selepas pendapatan terjejas angkara COVID-19.
Noraini dari Taman Tun Dr Ismail di sini, yang mesra dipanggil Kak Mek, berkata bantuan dalam bentuk rebat bil elektrik itu begitu bermakna dan berharap, bantuan seumpama itu diteruskan pada masa depan.

"Sepanjang PKP selama tiga bulan, Kak Mek tak dapat berniaga dan tiada pendapatan, namun dengan bantuan diberikan kerajaan, dapatlah menguruskan perbelanjaan harian dengan sempurna.

"Malah, pengurangan bil elektrik oleh TNB sehingga RM145 ini begitu melegakan. Sebagai peniaga, wang itu boleh digunakan untuk membeli keperluan barangan dapur," katanya yang berniaga semula hujung bulan lalu.

Sementara itu, Faridah mendapat pengurangan sehingga RM138 daripada jumlah bil sebanyak RM206.

Peniaga nasi lemak dan kuih muih di Temiang itu berkata, pendapatannya RM900 sebulan tidak mencukupi.

"Namun, dengan bantuan kerajaan ia dapat meringankan beban," katanya yang tinggal bersama dua anak remaja.

Dalam usaha untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19 kepada rakyat, TNB memperkenalkan pakej bantuan yang merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj lewat bayar sehingga 30 September dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan sehingga 30 September, kepada 7.66 juta pelanggan kediaman.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/715905/pengguna-syukur-terima-rebat-tnb